KEJAYAAN

Kejayaan

PASUKAN DEBAT UMK DINOBATKAN NAIB JOHAN PERTANDINGAN DEBAT TERBUKA ASTAR 2024

KUALA LUMPUR, 30 November 2024 – Pasukan Debat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencipta sejarah apabila meraih gelaran Naib Johan dalam Pertandingan Debat Terbuka Asrama Tuanku Abdul Rahman (ASTAR) 2024 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) dari 28 November hingga 1 Disember 2024.
Kejayaan ini melayakkan pasukan debat UMK membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,800, piala iringan, dan sijil penghargaan. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Adly Zahari.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr. Mohammad bin Ismail menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kecemerlangan pasukan debat UMK di peringkat kebangsaan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“UMK mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan debat atas kejayaan ini. Ia menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk aktif dalam aktiviti debat dan pengucapan awam.
“Universiti sentiasa komited memupuk bakat mahasiswa melalui program intelektual seperti ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk melahirkan graduan berdaya saing.
“Kejayaan sebagai Naib Johan ini membuktikan bahawa usaha gigih dan latihan konsisten mampu membuahkan hasil. Pasukan debat UMK telah menunjukkan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi sepanjang pertandingan,” katanya.
Pada pusingan akhir, pasukan UMK bersaing dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan membahaskan usul bertajuk “POTUS: Dalil Pengakhiran Keamanan Sarwajagat”.
Pasukan debat UMK memulakan perjalanan gemilang mereka dengan layak ke pusingan awal bersama 28 pasukan lain dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara. UMK meneruskan momentum cemerlang dengan menewaskan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di peringkat suku akhir dan mengalahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada separuh akhir.
Barisan pendebat UMK yang mengharumkan nama universiti terdiri daripada: Nik Nur Alissa Safira binti Mohd Laha (Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi), Zulhaidhar Danial bin Zakaria (Fakulti Sains Bumi) dan Muhammad Firdaus bin Afizal Baktiar (Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan). Tahniah kepada pasukan debat UMK atas kejayaan ini yang sekali lagi mengukuhkan reputasi universiti sebagai platform pembangunan intelektual dan kemahiran pelajar yang cemerlang.

Web Traffic

4.png3.png6.png9.png2.png5.png
Today
Yesterday
This week
This month
Total436925

Who Is Online

4
Online

2025-10-01

Search