KOTA BHARU, 24 November 2024 – Seramai 38 graduan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini mengangkat sumpah sebagai Doktor Perubatan Veterinar dan secara rasmi didaftarkan sebagai ahli Ikhtisas Kedoktoran Veterinar Malaysia.
Majlis yang penuh bermakna ini berlangsung di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Menurut Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, majlis ini meraikan kumpulan ke-11 Doktor Perubatan Veterinar yang berjaya menamatkan pengajian mereka di FPVUMK.
Beliau menegaskan komitmen FPV dalam memenuhi keperluan dan aspirasi kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dengan menghasilkan tenaga profesional yang mampu menampung permintaan mendesak dalam sektor veterinar di Malaysia.
“UMK sentiasa memastikan fakulti ini berkembang seiring dengan keperluan semasa, termasuk menyediakan tenaga akademik yang berkualiti serta kemudahan pengajaran yang memenuhi piawaian Majlis Veterinar Malaysia.
“Kami juga berusaha memastikan rancangan pembangunan Kompleks Pengajaran Veterinar berjalan lancar dengan pelaksanaannya dijadualkan bermula tahun hadapan. Walaupun terdapat cabaran, UMK tetap komited untuk memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya,” katanya pada Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar 2024.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar merangkap Presiden Majlis Veterinar Malaysia, Dr. Akma binti Ngah Hamid; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin; serta Dekan FPV, Prof. Madya Dr. Mohd Farhan Hanif Reduan.
Prof. Ts. Dr. Arham turut memaklumkan bahawa Ladang Pengajaran dan Keusahawanan Veterinar di UMK semakin pesat dibangunkan dengan pelbagai ternakan, fasiliti, dan tenaga pakar ditambah baik bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.
“Selain itu, Hospital Pengajar Perubatan Veterinar kini menjadi platform penting dalam aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) warga FPV. Hospital ini, yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi pada 2023, telah memberikan sumbangan besar dalam menyediakan perkhidmatan klinikal berkepakaran tinggi dan rawatan ambulatori untuk haiwan besar.
“Malah, perkhidmatan ambulatori hospital ini telah diperluaskan hingga ke Pulau Langkawi bagi program pemandulan anjing, yang turut melibatkan pelajar yang diraikan pada hari ini,” katanya.
Prof. Ts. Dr. Arham menutup ucapannya dengan menekankan bahawa segala usaha ini merupakan manifestasi komitmen UMK terhadap kecemerlangan FPV dan peranan besarnya dalam menyumbang kepada keperluan negara.


