KOTA BHARU, 19 November 2024 – Pasukan Debat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) disambut meriah oleh warga universiti di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra selepas dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Akhir Debat Diraja Antara IPT 2024 bagi kategori Bahasa Melayu.
Pasukan UMK yang terdiri daripada Muhammad Raihan Sharul bin Saron, Nurshadina Natasha binti Sabarudin, Muhammad Haries Husni bin Khalil Husaini, dan Nik Nur Alissa Safira binti Muhd Laha menewaskan pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam perdebatan bertemakan “Kecerdasan Buatan (AI) Sebagai Medium Penyatuan Masyarakat”.
Nurshadina Natasha turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Peringkat Akhir, manakala Muhammad Raihan Sharul memenangi Pendebat Terbaik Liga tajaan DBP.
Menurut Cik Nur Aida Elias, Pegawai Psikologi dan Penyelaras Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) UMK, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan latihan intensif pasukan debat.
“Pertandingan ini bermula dengan sesi saringan dalam talian yang melibatkan 63 pasukan dari 23 institusi. UMK berjaya mara ke peringkat akhir dan akhirnya muncul juara dalam kategori Bahasa Melayu,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad bin Ismail, berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain dan mengukuhkan agenda pemerkasaan mahasiswa melalui debat dan pengucapan awam di UMK.

