KOTA BHARU 10 April 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Kumpulan Penyelidik dari Pusat Pemikiran Keamanan dan Kesejahteraan Insan (PEMIKIR), Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan(FBI), menerima geran Hibiscus Petroleum berjumlah RM130,000.00 bagi pelaksanaan Program Pembangunan Kapasiti Pengusaha Keropok Tok Bali.
Projek berimpak tinggi ini telah mula dilancarkan pada September 2023 yang melibatkan penyertaan 22 pengusaha keropok di Tok Bali, Pasir Puteh.
Majlis penyampaian geran berjumlah RM80,000.00 bagi projek Program Pembangunan Kapasiti Pengusaha Keropok Tok Bali fasa kedua itu telah disempurnakan
oleh Pengerusi Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited, En. Zainul Rahim kepada Ketua Penyelidik PEMIKIR, Dr. Hazwani Munirah Abdul Lateh di Hotel Perdana Kota Bharu, hari ini.
Menurut Dr Nor Hazwani Munirah Lateh, Program Pembangunan Kapasiti Pengusaha Keropok Tok Bali merupakan satu inisiatif kolaborasi antara Syarikat Hibiscus Petroleum Berhad dan UMK.
Beliau berkata, sebelum ini projek ini telah menerima dana permulaan sebanyak RM50,000.00.
Justeru, melihat kepada kejayaan awal, program ini akan diteruskan lagi pada tahun 2025 dengan tambahan dana sebanyak RM80 000.
“Fasa kedua akan memperkenalkan modul latihan dan pemindahan ilmu perniagaan yang lebih komprehensif dan berimpak tinggi.
“Objektif utama program ini adalah untuk membangunkan kapasiti perniagaan pengusaha keropok di Tok Bali melalui latihan, pemindahan ilmu serta bimbingan secara lansung oleh pakar dari UMK.
“Penilaian berterusan terhadap komitmen dan prestasi peserta turut dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan program,” katanya.
Tambah beliau, fasa pertama peserta telah mengikuti modul latihan yang merangkumi aspek pengurusan perniagaan, pengendalian makanan, serta pengenalan kepada pemasaran digital.
Selain itu, enam peserta yang memenuhi kriteria program telah menerima bantuan dalam bentuk peralatan pembuatan keropok, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi mereka.
“Allhamdullilah, program ini telah membawa banyak perubahan positif kepada para peserta. Antara impak ketara adalah peningkatan dalam jumlah pengeluaran dan jualan, selari dengan penguasaan kemahiran baharu serta sokongan melalui penyediaan mesin pembuatan keropok.
“Selain itu, penggunaan teknologi digital juga turut dapat dilihat apabila majoriti peserta kini mula meneroka platform digital untuk memasarkan produk mereka, memperluaskan jangkauan pasaran melepasi komuniti setempat.
“Melalui aplikasi kemahiran pemasaran digital yang diperoleh, para peserta kini berupaya mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih strategik dan berdaya saing,” jelas beliau lagi.
Program ini bakal diteruskan untuk fasa kedua bermula Mac hingga November 2025, dengan harapan dapat menyediakan lebih banyak ilmu, pendedahan dan kemahiran kepada para pengusaha, sekaligus memacu pembangunan ekonomi setempat.