PUTRAJAYA 14 April 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meneruskan kerjasama strategik dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam aspek akademik, penyelidikan dan pemerkasaan pembangunan inklusif.
Menurut Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, satu kunjungan hormat ke pejabat Ketua Pengarah ICU JPM, YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, telah berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Kunjungan ini bagi membincangkan kerjasama strategik yang dijangka akan memberi manfaat besar khususnya dalam inisiatif keusahawanan yang dijalankan bersama komuniti luar bandar, usahawan mikro dan belia selari dengan peranan ICU.
Justeru, melalui kunjungan ini UMK berharap pelbagai kerjasama boleh dilaksanakan.
Sementara itu, UMK menawarkan lantikan kepada Datuk Seri Sollehuddin Alyubi sebagai Profesor Adjung UMK.

“Pelantikan ini sebagai penghargaan atas kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang tadbir urus pembangunan negara,” katanya.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu, Ahli Lembaga Pengarah UMK YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri bin Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Huzili bin Hussin dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur UMK, Prof. Madya Dr. Shardy Abdullah.





_large.jpeg)





