16 April 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perguruan Tinggi Muhammadiyah/Aisyiyah (PTMA) di Indonesia akan memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa dengan meneroka peluang baharu bagi kerjasama akademia, penyelidikan dan keusahawanan.
Justeru, Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah bersama delegasi telah mengadakan pertemuan rasmi dengan kepimpinan tertinggi Perguruan Tinggi Muhammadiyah /Aisyiyah di Indonesia iaitu Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah – Indonesia, Prof. Dr. Haedar Nashir M.Si.
Perbincangan tertumpu kepada usaha bidang pembangunan insan, penyelidikan, mobiliti pelajar, dan program pertukaran akademik.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, seramai 49 pensyarah dari Perguruan Tinggi Muhammadiyah /Aisyiyah di Indonesia menyambung pengajian di UMK dan dijangka seramai 8 orang akan bergraduat pada tahun ini dan 14 orang lagi pelajar sudah selesai sesi viva voice serta 27 pelajar dengan status active .
“Selain itu, kedua-dua pihak juga telah mengatur pelbagai program kerjasama antaranya UMK akan menjemput Prof. Dr. Haedar untuk hadir dalam Istiadat Konvokesyen UMK dan Majlis Suar Gemilang untuk menyampaikan ucapan kepada graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Indonesia.
Sementara itu, pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia turut mengundang Naib Canselor UMK dan pasukan ke Majlis Milad Muhammadiyah 118 tahun yang diadakan pada bulan November 2025.