BACHOK 2 Mac 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Syarikat Xbuzz Stingless Bee Production Sdn. Bhd., hari ini menandatangani perjanjian pelesenan bagi Rahsia Dagangan Produk "Kelulut Gummies" (TS2024007UMK).
Majlis perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Pengarah Urusan Syarikat Xbuzz Stingless Bee Production Sdn. Bhd., Dr. Zubaidah Aimi Abdul Hamid, sempena majlis pelancaran produk “VitaLulut Gummies”, di Bilik Seminar 2, Bangunan Canselori, UMK Bachok.
Produk Vitalulut Gummies adalah hasil kerjasama strategik UMK dan Hannan Medispa Sdn. Bhd., selepas pelancaran produk “Whitening Suncreen”.
Majlis pelancaran turut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hannan Medispa Sdn. Bhd., Dr. Mohd Hannan Yusof dan Pengurus Hannan Medispa Sdn. Bhd., Cik Hannan Jamaludin.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, UMK amat berbesar hati atas kesudian Hannan Medispa untuk bekerjasama dalam mengkomersialkan produk R&D hasil penyelidikan para penyelidik UMK.
Katanya, produk VitaLulut Gummies adalah produk pertama keluaran Syarikat Xbuzz Stingless Bee Production Sdn Bhd, syarikat hiliran UMK bersama pihak Hannan Medispa Sdn Bhd.
”VitaLulut Gummies adalah produk yang diformulasikan khas dengan madu kelulut dan Vitamin C untuk meningkatkan tenaga serta menyokong sistem imun badan.
“Produk ini adalah hasil formulasi yang diperkenalkan oleh Syarikat Xbuzz Stingless Bee Production Sdn Bhd, yang mula ditubuhkan pada tahun 2024 dengan memfokuskan kepada produk berasaskan madu kelulut.
“Syarikat Xbuzz terdiri daripada penyelidik Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), yang mana pihak FBKT menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyokong aspirasi untuk memperkasakan ekosistem pengkomersialan di UMK,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail, Menjalankan Tugas (Operasi), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
Menurut Dr. Zubaidah Aimi, produk ini akan diedarkan secara ekslusif oleh Hannan Medispa Sdn. Bhd., Vitalulut Gummies merupakan gabungan daripada multivitamin, mineral dan antioksidan yang diperoleh daripada superfoood, madu kelulut.
“Madu kelulut kaya dengan vitamin C, zink, dan bioflavonoid dan inovasi Vitalulut Gummies yang diformulasikan khusus untuk meningkatkan sistem imun, meningkatkan tahap tenaga dan membantu pencernaan yang sihat.
“Harapan kami yakin bahawa produk ini akan mendapat sambutan yang hangat daripada pengguna hasil kerjasama dengan Hannan Medispa Sdn. Bhd.,” katanya.