BACHOK 5 Mac 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berhasrat menjadi pusat rujukan dan hub industri kenaf di negara ini sebaik sahaja penubuhan Kenaf Based Research Centre UMK-LKTN dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, cadangan penubuhan Kenaf Based Research Centre di bawah Flagship Programme akan dijalankan di bawah Pusat Kecemerlangan (CoE) Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA) UMK.
Beliau berkata, ianya akan menjadi Pusat Rujukan dan One Stop Centre bagi aktiviti penyelidikan, inovasi, pengkomersialan, keusahawanan dan komuniti (RICES) bagi industri kenaf.
“Objektif utama penubuhan Kenaf Based Research Centre adalah untuk menjalinkan kolaborasi strategik bersama penggubal dasar dan industri khususnya bagi tujuan pengkomersialan produk berasaskan kenaf.
“Untuk makluman , pembangunan produk innovative materials ini menggunakan kenaf fibre dan kenaf core dan pembangunan produk berasaskan kenaf bagi aplikasi nutraseutikal dalam mengkomersialkan produk R&D hasil penyelidikan para penyelidik UMK dengan kolaborasi bersama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN),” katanya pada Mesyuarat Pebincangan dan Lawatan Tapak Bagi Cadangan Penubuhan Kenaf Based Research Centre UMK-LKTN, di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Bangunan Canselori, UMK Bachok, hari ini.
Delegasi LKTN diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKTN, Ts. Mohd Fadzhel Mohd Nasir, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Ts Mohd Za'im Mohd Nor dan Pengurus Wilayah Timur, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Tuan Haji Nik Muhamad Azhar Nik Mustapha.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK Prof. Dr. Mohammad Ismail, Pengarah, Bahagian Komersialan dan Harta Intelek (ICD) UMK, Prof. Madya Ts. Dr. Mardawani Mohamad, Pengarah IFSSA, Ts Dr Maryana Mohamad Nor dan barisan penyelidik, Prof Madya Dr Mohamad Najmi Masri dan Ts Dr Teo Pao Ter.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, dua lokasi cadangan tapak telah dikenalpasti hasil lawatan awal bersama pihak Agro Techno Park (ATP), Pusat Pembangunan Dan Pengurusan Infrastruktur (3PI) dan Bahagian Komersialan dan Harta Intelek (ICD), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) pada 3 Mac 2025 di sekitar kawasan UMK Bachok.
Katanya, lokasi pertama adalah di kawasan pembangunan pintu pagar belakang UMK melibatkan tapak bekas sawah padi yang didapati sesuai untuk penanaman kenaf.
“Keluasan tanah bagi lokasi pertama adalah sebanyak 5.4 ekar dan berdekatan dengan hub inovasi dan pengkomersialan ruminan yang sesuai untuk pemprosesan kenaf bagi penghasilan makanan ternakan atau produk lain.
“Manakala bagi cadangan lokasi kedua adalah melibatkan 20 ekar kawasan pokok gelam yang didapati berpotensi untuk dibangunkan bagi projek rintis ladang kenaf di UMK.Lokasi tapak yang dipilih adalah tanah UMK yang belum dibangunkan dan boleh diusahakan untuk projek ini,” katanya.
Fasa pertama melibatkan pembangunan projek rintis ladang kenaf. Fokus utama adalah kepada fasa kedua dan ketiga iaitu latihan dan kursus berterusan berkaitan penanaman, pemprosesan produk berasaskan kenaf kepada golongan sasaran dan komuniti setempat serta pengkomersialan produk hiliran.