KUALA LUMPUR 10 Mac 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil pendekatan terbaik dengan memperluas akses penawaran program pengajian kepada masyarakat di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Kolej KETENGAH.
MoA itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Pengerusi Kolej KETENGAH, Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad Razif Abd. Rahman di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi KETENGAH, Dato’ Seri (Dr) Hj Ahmad Said dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Huzili bin Hussin.
Turut hadir, Pengerusi KETENGAH Holding Berhad, Dato’ Haji Nik Dir Nik Wan Ku, Pengarah UMKCEE, Prof. Madya Ts. Dr Muhammad Ashlyzan bin Razik dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Ketengah Sdn Bhd.,Hj Razali Mahmud.
Prof. Ts. Dr. Arham berkata, langkah untuk mengadakan MoA ini telah lama digerakkan/ usahakan bermula pada Mei 2023 yang melibatkan kunjungan hormat, perbincangan kerjasama, sesi audit lokasi yang dilakukan oleh pihak Pusat Pendidikan Luar UMK (UMKCEE).
Katanya, kerjasama ini adalah merupakan kolaborasi bagi penawaran Program PESISIR “SMART PARTNERSHIP”.
“Kerjasama ini berlangsung selama tiga tahun ini akan melingkatkan lagi hubungan antara kedua-dua institusi yang berada di Pantai Timur dalam bidang Pendidikan terutama untuk memperkenalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat.
“Selain itu, kerjasama ini dapat memberi peluang kepada anak muda untuk melahirkan modal insan berilmu dan bertrampilan terutama dalam bidang keusahawanan di peringkat tinggi lagi.
“Program Pesisir ini akan melibatkan lima program akademik UMK iaitu Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan) dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Peruncitan) dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam) dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Hospitaliti Pelancongan dan Kesejahteraan,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad Razif menyifatkan kerjasama ini adalah usaha memperkukuh dan memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti bagi masyarakat di wilayah KETENGAH.
Katanya, gabungan kerjasama ini akan dapat memperkasakan lagi bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan kemahiran yang lebih berdaya saing demi anak bangsa.


