KOTA BHARU 4 Mei 2025 I Ketua Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia, Prof. Dr. H. Haedar Nashir hari ini dianugerahkan Tokoh Pendidikan dan Keusahawanan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Majlis Suar Gemilang yang berlangsung di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan, malam tadi.
Anugerah itu telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan, Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan diringi oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.

Anugerah tokoh tersebut merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam memperkasa pendidikan keusahawanan, bukan sahaja dalam konteks akademik, malah dalam membentuk naratif kepimpinan berteraskan nilai, integriti dan pembangunan insan secara holistik.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, Prof. Dr. H. Haedar Nashir pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK berdasarkan kepada ketokohan beliau sebagai ilmuan dan pemimpin berkaliber tinggi yang dihormati di peringkat serantau.

Beliau juga dikenali kerana keperibadian yang sederhana tetapi tegas, kewibawaan dalam membawa suara intelektual Islam moderat, serta pendekatan pendidikan yang berteraskan keseimbangan ilmu, moral dan masyarakat.
“Anugerah ini merupakan simbol penghormatan universiti terhadap tokoh yang telah memberi impak besar bukan hanya dalam bidang pendidikan, tetapi juga dalam memperkukuh jati diri dan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat serantau.

“Menerusi anugerah ini, pelbagai kerjasama dan koloborasi dapat dilaksanakan hasil daripada pertemuan rasmi UMK dengan kepimpinan tertinggi Perguruan Tinggi Muhammadiyah /Aisyiyah di Indonesia pada April lepas,” katanya pada Majlis Suar Gemilang UMK 2025 sempena Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan Ke-14, di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, UMK meraikan 57 graduan pascasiswazah bagi penyempurnaan Majlis Pemakaian Hud.Daripada jumlah itu, 53 graduan daripada Pusat Pengajian Siswazah (PPS) dan empat graduan daripada Malaysian Graduate School of Entrepreneurship and Business (MGSEB).
Seramai 32 graduan adalah dari Malaysia dan 21 graduan merupakan graduan antarabangsa yang terdiri daripada pelbagai negara termasuk Indonesia, China, Nigeria, Guinea, Ghana, dan India.

Prof. Ts. Dr. Arham berkata, Majlis Suar Gemilang ini satu detik penuh makna yang memperingati kejayaan besar dalam perjalanan hidup para graduan kita iaitu sambutan penuh makna dalam hidup iaitu majlis konvokesyen.
Katanya, Ia bukan sahaja hari konvokesyen, tetapi lambang kepada segala titik peluh, kegigihan, dan semangat yang tidak pernah luntur dalam mengejar ilmu dan kejayaan.









_large.jpeg)





