BACHOK 5 Mei 2025 I Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan lsmail Petra, dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini.
Majlis Istiadat pemasyhuran telah berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok sempena Istiadat Konvokesyen ke-14 yang diadakan bermula 5 hingga 8 Mei 2025.
Watikah pemasyhuran Yang Teramat Mulia, Tengku Muhammad Fakhry Petra dipersembahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Turut disaksikan oleh Pengerusi, Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan, Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan, Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan, Pengurusan Tertinggi Universiti.
Tengku Mahkota Kelantan lebih mesra dengan Tengku Fakhry, diputerakan pada 7 April 1978 di Kota Bharu, Kelantan. Baginda merupakan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan ke-28 dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1), Kota Bharu, Kelantan dan mendapatkan pendidikan menengah di United World College, Singapura.
Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan kemudian menyambung pelajaran di Hurtwood House, England di peringkat A Level.
Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran di University of Westminster, London dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kewangan. Baginda gemar mengisi masa lapang dengan berbagai aktiviti riadah seperti berbasikal, berenang dan bermain badminton.

Dalam kemuncak perjalanan baginda dalam Institusi Diraja adalah apabila baginda dilantik secara rasmi sebagai Tengku Mahkota Kelantan. Pengumuman rasmi pelantikan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry sebagai Tengku Mahkota Kelantan dibuat pada 11 Januari 2024.

Sementara itu, Prof. Ts Dr. Arham dalam persembahan aluannya terhadap pemasyhuran Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Kelantan menyifatkan dengan ketokohan baginda yang sentiasa menjunjung tinggi nilai ilmu dan pembangunan modal insan dapat menyumbang kepada pembangunan Universiti.
"Menjunjung Kasih Tuanku, dengan penuh kesyukuran, seluruh warga UMK berbangga dan semoga baginda dapat memainkan peranannya dalam memperkukuhkan peranan UMK sebagai institusi pendidikan tinggi yang berteraskan keusahawanan.," katanya.

Selain itu, pemasyhuran baginda juga sebagai pengiktirafan terhadap kebijaksanaan, komitmen, dan sumbangan berterusan baginda dalam bidang pendidikan dan pembangunan akademik di negeri Kelantan.
Dengan sifat kepimpinan yang berpaksikan kearifan tempatan dan wawasan global, Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan membawa aspirasi besar dalam memayungi universiti di bumi berkah ini.








_large.jpeg)





