BACHOK 5 Mei 2025 I Seramai 3,014 graduan menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan ke-14 yang berlangsung hari ini hingga 8 Mei 2025 di di Dewan Canselor Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, Kelantan.
Daripada jumlah itu, seramai 53 orang graduan Ijazah Doktor Falsafah, empat orang graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), 139 orang graduan Ijazah Sarjana, dan 2,818 orang graduan Ijazah Sarjana Muda.
Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, konvokesyen ini membabitkan tujuh sidang bagi meraikan seramai 3,014 orang graduan yang bakal menerima ijazah masing-masing.
Beliau berkata, seramai 59 orang graduan merupakan pelajar antarabangsa daripada lapan buah negara iaitu Indonesia, China, Nigeria, India, Palestin, Ghana, Guinea dan Somalia.
“Pada majlis Istiadat Konvokesyen kali ini, UMK meraikan 57 orang graduan sulung program pengajian Sarjana Muda Komunikasi Perniagaan dengan Bahasa Inggeris (Kepujian) daripada Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan.

“Sidang pertama hari ini, majlis akan meraikan seramai 123 orang graduan yang terdiri daripada: 53 orang graduan Ijazah Doktor Falsafah, empat orang graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), 44 orang graduan Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan dan 22 orang graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
“Manakala, pada konvokesyen ini juga seramai 16 orang graduan program pascasiswazah mod penyelidikan telah berjaya bergraduat dalam masa yang ditetapkan (Graduate on Time - GOT),” katanya pada Sidang Satu Istiadat Konvokesyen UMK Ke 14, di UMK Kampus Bachok, Kelantan.

Pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra turut berangkat mencemar duli bagi perkenan menerima persembahan pemasyhuran sebagai Pro Canselor UMK.
Baginda juga turut berkenan mencemar duli menyampaikan ijazah kepada semua graduan-graduan yang hadir.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan, Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan, Pengurusan Tertinggi Universiti.
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Arham memaklumkan selepas 18 tahun UMK beroperasi, ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan UMK yang telah dilahirkan adalah seramai 23,677 orang.

Katanya, sepanjang 2024 UMK melakar beberapa pencapaian utama antaranya pada tahun 2024 UMK berada pada kedudukan 401-600 dalam penarafan THE Global Impact Rankings 2024.
“Pada peringkat Asia, UMK berada pada kedudukan 501-600 dalam penarafan THE World University Ranking Asia 2024 yang sekali gus menempatkan UMK sebaris dengan universiti bertaraf dunia di benua Asia.

“Terbaharu, UMK telah berjaya tersenarai buat pertama kali dan mengungguli kedudukan Top Five in Malaysia dalam penarafan THE Interdisciplinary Science Rankings 2025 iaitu pada posisi 201-250.
“Pada tahun ini, UMK merekodkan sehingga 23 Februari 2025, data Kadar Bekerja Graduan UMK 2024 (Graduate Employability) menunjukkan pencapaian 97.2 peratus manakala Kadar Kebolehpasaran Graduan UMK 2024 (Graduate Marketability) berada pada tahap 96.7 peratus. Peratus Usahawan Graduan UMK 2024 (Graduate Entrepreneur) pula pada kadar 12.21 peratus,” jelas beliau.

Dalam pada itu, UMK telah menerima anugerah berprestij ‘2025 EMPLOYER’S CHOICE’ melalui inisiatif 2025 Talentbank’s National Graduate Employability Index.
Penarafan ENAM (6) bintang dianugerahkan kepada EMPAT (4) program iaitu Pengurusan Hospitaliti, Pelancongan, Logistik dan Pengajian Bahasa.




_large.jpeg)





