BACHOK 6 Mei 2025 I “Saya tujukan ijazah ini kepada ibu saya, Syakimah Md. Noor, 48, yang sentiasa mendoakan dan menyokong saya selama ini”, ungkap Nor Ainatasya Mohamad Hamizi, 25.
Nor Ainatasya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Agroteknologi) dengan Kepujian di Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) berkata, ibunya adalah pendorong dan kekuatan hingga beliau berjaya menggengam segulung ijazah hari ini.

Beliau telah memenuhi hasrat ibu untuk menceburi bidang agro pertanian kerana bidang ini menjamin satu peluang besar untuk menjana pendapatan.
“Ibu saya juga mahu kami sekeluarga dapat memiliki ladang pisang supaya dapat memperluaskan lagi perniagaan kerepek pisang yang diusahakan oleh kedua ibu bapa saya selama ini.
“Demi memenuhi hasrat ibu termasuk bapanya, Mohamad Hamizi Abdul Majid, 51, saya ambil keputusan memohon bidang pengajian ini di UMK sebaik tamat menduduki Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM).

“Allhamdullilah, walaupun terpaksa menempuhi pelbagai ujian dan kekangan termasuklah ibu dikhabarkan diserang penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu akhirnya saya dapat menghabiskan pengajian di Universiti,”katanya pada sidang kedua Istiadat Konvokesyen UMK Ke-14 di UMK Kampus Bachok, Kelantan, hari ini.
Menurut Ainatasya, walaupun ibu sakit tetapi ibu sanggup datang berkerusi roda ditemani dua lagi adik beradik hadir untuk menyaksikan Nor Ainatasya menerima ijazah tersebut.
“Tanpa sokongan ibu saya tidak mungkin akan sampai ke tahap ini. Saya harap kejayaan saya ini mampu mengubah nasib keluarga,” katanya yang turut sebak melihat Ibunya yang tidak berhenti mengalir air mata.




_large.jpeg)





