BANGKOK 15 Mei 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan The Office Of The Royal Development Projects Board (ORDPB) Bangkok, Thailand, hari ini Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama dalam sektor pertanian di peringkat antarabangsa.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan ORDPB diwakili oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Khas Penyelarasan Projek Diraja, Cik Suporn Trinarin, di bertempat di pejabat ORDPB Bangkok, Thailand.
MOU itu disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin dan Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Diraja Pikulthong, Cik Saiyut Petchsuk.
Turut hadir, Dekan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) UMK, Prof. Madya Dr. Seri Intan Mokhtar.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, kerjasama tersebut amat bermakna bagi UMK kerana ini merupakan kali pertama The Office Of The Royal Development Projects Board (ORDPB) menjalinkan hubungan rasmi dengan institusi pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kerjasama antara ORDPB dan UMK telah dipersetujui oleh Duli Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn dan Perdana Menteri Thailand.
“Kerjasama ini akan mengukuhkan hubungan kedua-dua pihak dan objektif kerjasama strategik ini ialah mengadakan pertukaran pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pertanian, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan alam sekitar, termasuk mempromosikan dan mengembangkan hasil kepada rakyat.

