JAKARTA, Indonesia 6 Januari 2026 I Pensyarah dan Penyelidik Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Ts. Dr. Siti Nuurul Huda Binti Mohammad Azmin, telah menerima undangan bagi menyampaikan ceramah bertajuk From Bioactive Research to Cosmetic Innovation: Expertise, Research Impact and Postgraduate Pathways di Universitas Binawan, Indonesia, baru-baru ini.

Perkongsian beliau pada ceramah itu mengenai transformasi penyelidikan bioaktif kepada inovasi kosmetik yang mengupas lanjut bagaimana sesebuah penyelidikan atau kajian sains bioaktif dapat diterjemahkan menjadi inovasi kosmetik, dengan fokus kepada impak penyelidikan terhadap pembangunan produk dan laluan pendidikan pascasiswazah.

Pada sesi ucapan beliau selama dua jam itu telah berjaya menarik perhatian audien terdiri dari mahasiswa dan pensyarah Universiti Binawan yang aktif bertanya soalan dan berdiskusi mengenai cabaran serta peluang dalam bidang kosmeseutikal dan nutrakosmetik.
Prof. Madya Ts. Dr. Siti Nuurul Huda turut berkongsi pengalaman ketika bertugas sebagai saintis jemputan selama tiga bulan di Korea Selatan dimana beliau berpeluang meneroka penyelidikan dan pemasaran global untuk produk kecantikan.

Pada lawatan kerja ke Indonesia, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Nuurul Huda turut mengadakan kunjungan ke Cikole Bandung, Jawa Barat, bagi meninjau "Pilot Model – Cara Produksi Kopi Luwak melalui Pemeliharaan Luwak yang Memenuhi Prinsip Kesejahteraan Hewan (Animal Welfare)".
Menurut beliau, pada sesi lawatan singkat itu telah berjaya memberi pendedahan secara tidak langsung terhadap kaedah produksi kopi luwak secara berstruktur dan lestari, dengan penekanan kepada kesejahteraan haiwan, kawalan kualiti, serta pematuhan piawaian pengeluaran berasaskan sains.
“Pengalaman lapangan ini turut membuka ruang perbincangan mengenai pemindahan pengetahuan dan potensi adaptasi amalan terbaik dalam pembangunan produk berasaskan sumber semula jadi,” katanya.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) di Yogyakarta bagi meneroka peluang kolaborasi strategik antara UMK dan BRIN.
Beliau memaklumkan bahawa lawatan ini memberikan peluang untuk menjalin penyelidikan kolaboratif, pertukaran penyelidik, serta penglibatan aktif pelajar pascasiswazah dalam projek inovasi kosmeseutikal terkini, sekaligus menguatkan hubungan penyelidikan yang berimpak tinggi.
Dalam maklumbalas oleh pihak BRIN, UMK dilihat sebagai rakan strategik berpotensi dalam bidang kosmeseutikal dan nutrakosmetik, sejajar dengan kepakaran universiti dalam bioactive compounds dan inovasi produk sains terapan.

“Kerjasama ini bakal memperkukuh ekosistem inovasi produk dan aplikasi industri di peringkat serantau dan mengukuhkan reputasi UMK di pentas antarabangsa termasuk membuka peluang kerjasama akademik dan industri yang berimpak tinggi, selaras dengan misi universiti untuk memacu inovasi, pengiktirafan global, dan pembangunan modal insan,” jelas beliau.





_large.jpeg)





