UMK Kampus Kota 13 Januari 2026 I Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI) dan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI) merangkul anugerah Penyertaan Tertinggi Pusat Tanggungjawab (PTj) pada sesi Bacaan Ikrar Integriti Malaysia di Bilik Mesyuarat Eksekutif, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah kepada Dekan FBI, Prof. Madya Dr. Kamarulzaman Bin Abdul Ghani dan Menjalankan Fungsi Ketua Pustakawan PPI, Encik Hairuladzhar Bin Mohd Hamdi.
Majlis Sambutan Hari Integriti UMK 2025 dianjurkan oleh Pejabat Naib Canselor yang telah dirasmikan oleh En. Hairuladzhar secara dalam talian (google hangout meet) pada 29 Disember 2025.

Menurut Ketua Unit Integriti UMK, Puan Adni Binti Abu Hassan Sha'ari, pengisian utama majlis sambutan pada tahun ini adalah Amanat Integriti Naib Canselor yang bertujuan menyampaikan mesej kepimpinan tertinggi Universiti mengenai kepentingan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang beretika dalam semua aspek pengurusan serta pelaksanaan tugas oleh warga Universiti.
Selain itu, gimik pelancaran telah berlangsung menerusi sesi Lafaz Ikrar Integriti Malaysia secara dalam talian melibatkan warga Universiti yang telah diketuai oleh Pegawai Keselamatan Bahagian Keselamatan, Pejabat Pendaftar Encik Zulkifly bin Long.

Majlis lafaz ikrar itu adalah suatu penzahiran akujanji warga Universiti terhadap komitmen membudayakan integriti sebagai teras kecemerlangan organisasi.
Pn. Adni berkata, pencapaian kedua-dua PTj yang merangkul anugerah penyertaan tertinggi pada majlis sambutan kali ini mencerminkan komitmen berterusan warga universiti dalam membudayakan nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang beretika dalam ekosistem universiti.
“Usaha memupuk integriti bukan sekadar simbolik, malah menjadi asas penting dalam memperkukuh kepercayaan serta kecemerlangan institusi secara menyeluruh.
“Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada seluruh Pusat Tanggungjawab UMK untuk terus menghayati dan mengamalkan prinsip integriti dalam setiap peranan dan amanah yang dipikul,” katanya.




_large.jpeg)





