BANGI, Selangor 9 Januari 2026 I Pelajar Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencipta kejutan apabila berjaya meraih Anugerah Emas pada Program Water Filter Innovation Challenge 2026, bersempena berlangsungnya UKM Geoscience Carnival 2026 bertempat di UKM, Bangi, Selangor, semalam.
Kejayaan itu sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000.00, piala dan sijil penghargaan.

Ahli pasukan pelajar FSB terdiri dari Amal Binti Ahmad Fathan, Nur Anis Syakilla Binti Abu Bakar Saari dan Nurul Syazwani Binti Mohd Idrus. Manakala, penyelia Projek adalah Pensyarah Fakulti Sains Bumi UMK Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Faiz Mohd Amin.
Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Mohammad Faiz, projek kursus Teknologi Rawatan Air, direka bentuk sebagai tugasan berasaskan projek (project-based learning) bagi mendedahkan pelajar kepada cabaran sebenar berkaitan kualiti air dan rawatan air bersih.
Beliau berkata, pertandingan peringkat kebangsaan ini berfungsi sebagai platform inovasi berteraskan sains dan teknologi yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem penapisan air yang efektif, mampan dan mesra alam.
Justeru, pelajar tidak boleh hanya mempelajari teori di dalam bilik kuliah, malah dikehendaki mereka bentuk, membina dan menguji sistem penapisan air secara praktikal.
“Pada pertandingan ini pelajar UMK telah berjaya menghasilkan sistem penapis air yang berupaya menurunkan kekeruhan air mentah secara signifikan serta mengurangkan beberapa parameter kritikal kualiti air, sekali gus meningkatkan kualiti air ke tahap yang jauh lebih bersih dan sesuai untuk rawatan lanjut.
“Sistem ini dibangunkan menggunakan bahan kos efektif dan mudah diperoleh, menjadikannya berpotensi untuk diaplikasikan khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti yang berdepan isu bekalan air bersih.

“Allhamdullilah, kejayaan ini membuktikan bahawa bilik kuliah boleh menjadi tapak awal inovasi sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran disusun secara berfokus, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian masalah sebenar,” jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Program Sains Kelestarian Alam Sekitar FSB, Gs. Dr. Amal Najihah Muhamad Nor berkata, UMK menghantar lima pasukan untuk menyertai Water Filter Innovation Challenge 2026 anjuran Program Geosains, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM.
Katanya, seramai 15 orang peserta telah mewakili UMK terdiri daripada 14 orang pelajar Tahun 3 Program Sains Kelestarian Alam Sekitar dan seorang pelajar Program Geosains.
“Setiap peserta yang bertanding telah dibimbing oleh seramai tujuh mentor FSB iaitu Prof. Madya ChM. Dr Rozidaini Mohd Ghazi, Prof. Madya Ts. Dr Mohamad Faiz, Dr. Nor Shahirul Umirah Idris, Dr Nurul Syazana Abdul Halim, Ts. Dr Noor Janatun Naim Jemali, Pn. Farah Khaliz Kedri dan Cik Nor Sayzwani Sukri.
“Kejayaan ini amat membanggakan apabila pasukan tersebut berjaya menewaskan 30 kumpulan peserta lain yang terdiri daripada universiti dalam dan luar negara serta wakil industri,” katanya.
Tambah beliau, cabaran utama pertandingan ini adalah untuk menapis air kotor menjadi air bersih menggunakan bahan kitar semula dan geomaterial.
“Setiap pasukan perlu menunjukkan kreativiti dan inovasi dalam pembinaan penapis air secara on-site dalam tempoh dua jam, dengan masa penapisan selama 15 minit serta menghasilkan minimum 500 mL air bersih.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pengarah Pusat Kerjasama Industri Universiti (CUIC), Ts. Dr Noor Janatun,
Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA), UMK Entrepreneurship Institute (UMK EI), Fakulti Sains Bumi UMK, serta para mentor yang terlibat.
Pencapaian ini diharap menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar untuk terus berinovasi dan mengharumkan nama Program Sains Kelestarian Alam Sekitar serta Fakulti Sains Bumi dan UMK.

.jpeg)


_large.jpeg)





