KERJAYA

Kerjaya

PEGAWAI KADET SISKOR BERPELUANG DISERAP PEGAWAI PENJARA

 

KOTA BHARU: Jabatan Penjara Malaysia akan menawarkan tiga peluang kerjaya kepada Pegawai Kadet Kor Sukarelawan Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang terpilih untuk mengikuti Skim Latihan Pekerjaan di bawah Program MyStep.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Nordin Muhamad berkata, bagi setiap pusat pentauliahan atau universiti yang menganggotai SISKOR, pihaknya akan menawarkan peluang tersebut di bawah program MyStep.

Katanya, satu daripada tiga Pegawai Kadet Kor SISKOR yang bergraduasi akan dipilih untuk dilibatkan dalam melaksanakan program-program pemulihan dan kemasyarakatan.

Manakala, dua daripada mereka akan ditempatkan di jabatan pentadbiran bagi pelaksanaan program pemulihan dalam fasiliti.

“Saya berharap agar pelantikan mereka dapat disegerakan kerana kita ingin memberikan peluang terbaik kepada mereka,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Kehormat dan Pentauliahan Pegawai Kadet Kor Siskor Peringkat UMK di Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Hadir sama, Komandan Kor SISKOR UMK, Prof Dr. Razli Che Razak, Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UMK Prof Madya Ts Dr Saufi Che Rusuli, Pengarah Penjara Kelantan, Komissioner Mat Yaacob dan Pengarah Bahagian Pembangunan Profesionalisme Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM), Komisioner Penjara, Ariffin Mohd Noor.

Pada majlis itu seramai 62 kumpulan pertama Kadet Kor Sukarelawan Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) UMK menerima pengtauliahan.

Manakala enam pegawai UMK dianugerahkan dengan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat Kor SISKOR UMK.

Dato’ Nordin juga berkata, inisiatif murni itu dilaksanakan bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan melalui penubuhan Kor SISKOR UMK, di samping pihak Jabatan Penjara Malaysia pula menyediakan sumber manusia yang berkualiti serta terlatih dalam bidang kepenjaraan.

Katanya juga sekiranya ada Pegawai Kadet SISKOR UMK berminat berkhidmat dalam profesyen sebagai pegawai penjara, pihaknya sedia memberi peluang dalam bidang tersebut.

“Ini memberi peluang besar kepada pelatih kadet sekiranya ingin diserap sebagai pegawai, kerana mereka telah memiliki ilmu serta kemahiran kepenjaraan melalui penglibatan dalam aktiviti SISKOR,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Razli  berkata, Kor SISKOR UMK amat bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Penjara Malaysia, khususnya daripada Bahagian Pembangunan Profesionalisme, Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM), Pejabat Pengarah Penjara Negeri Kelantan dan Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

"Penubuhan Kor SISKOR UMK adalah aspirasi bersama dan disokong oleh Dato’ Haji Nordin selaku Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang sangat prihatin bukan sekadar untuk menyempurnakan majlis ini, tetapi juga menyokong pelaksanaan aktiviti yang dirancang," katanya.

Prof. Dr. Razli berkata, para pelatih terpaksa menghabiskan kebanyakan modul pembelajaran secara dalam talian, yang mana mengambil masa selama empat semester pengajian bersamaan dua tahun.

"Allamdulillah, mereka terbukti mampu menyempurnakannya. Bagi saya dan Kor SISKOR UMK, mereka adalah kebanggaan UMK dan permata Jabatan Penjara Malaysia yang tinggi harganya.

"Kejayaan mereka ini juga merupakan manifestasi kepada komitmen para pegawai dan jurulatih yang sentiasa bersungguh-sungguh untuk memastikan para pelatih penuh dengan ilmu berkaitan profesionalisme, kesukarelawanan dan kemanusiaan yang mengikut acuan Jabatan Penjara Malaysia," katanya.

PEGAWAI KADET SISKOR 3

PEGAWAI KADET SISKOR 2

PEGAWAI KADET SISKOR 4

PEGAWAI KADET SISKOR 5

PEGAWAI KADET SISKOR 6

Web Traffic

2.png8.png5.png4.png1.png4.png
Today347
Yesterday402
This week1665
This month7262
Total285414

Who Is Online

3
Online

2024-04-26

Search