KERJAYA

Kerjaya

IFSSA PERKENALKAN INOVASI PRODUK MAKANAN KOREA DAKGALBI DAN PATTY BURGER CENDAWAN TIRAM


INSTITUT Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan produk sedia dimakan (Ready To Eat) menggunakan teknologi 'retort’, yang boleh disajikan dalam masa seminit.
Berkonsepkan ‘Senang, Cepat dan Mudah’, produk makanan Ayam Pedas Korea atau lebih dikenali Dakgalbi yang berasal dari Korea itu boleh dimakan terus dengan nasi putih, mi ramen atau salad untuk hidangan satu hingga dua orang.
Pengarah IFSSA, Ts. Dr. Maryana Binti Mohamad Nor berkata, produk Dakgalbi yang dihasilkan ini menggunakan teknologi pembungkusan makanan yang dibungkus dengan kantung retort yang memiliki ketahanan suhu bilik yang membolehkan produk ini memiliki jangka hayat selama 12 bulan.
Katanya, dakgalbi merupakan salah satu hidangan yang banyak mendapat tempat di hati para peminat makanan Korea terutamanya di Malaysia.
“Produk dakgalbi ini menggunakan bahan-bahan seperti ayam tanpa tulang yang diperap bersama pes cili, bawang, dan halia dan serta dimasak bersama kek beras, kubis, ubi keledek dan lain-lain sayuran.
“Hidangan ini berasal dari bandar Chuncheon, Wilayah Gangwon Korea Selatan dan mula terkenal pada tahun1960an di sana. Di Korea, dakgalbi dimasak di dalam kuali besi tuang (cast iron) dan dihidangkan secara langsung di depan pelanggan di dalam portion (bahagian) sesuai untuk 2-3 orang makan,” katanya.
Tambah Ts. Dr. Maryana, projek penghasilan dakgalbi secara retort ini diketuai oleh Penolong Pegawai Penyelidik IFSSA, Puan Siti Zubaidah Hamzah di bawah peruntukan dana Bahagian Pengurusan Penyelidikan, Pusat Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), UMK.
Menurut Puan Siti Zubaidah, idea menghasilkan dakgalbi bercitarasa Malaysia tercetus selepas melihat tiada produk dakgalbi dijual di rangkaian restoran makanan di Malaysia.
“Biasanya, jualan produk dakgalbi adalah terhad dengan harga yang agak mahal dan status halal turut diragui.
Justeru, pihak IFSSA mengambil inisiatif dengan menghasilkan produk inovasi dakgalbi ini secara teknologi retort menggunakan skim geran penyelidikan (UMK-NICE) yang diperkenalkan kepada staf bukan akademik bermula pada April 2021 dan tamat pada Oktober 2022.
“Dakgalbi ini menggunakan bahan-bahan tempatan tapi dalam masa yang sama, masih mengekalkan citarasa Korea.
“Produk ini sedia dimakan dengan nasi, mi atau salad mengikut citarasa masing-masing. Dengan tercetusnya idea dakgalbi secara retort ini, para peminat makanan Korea boleh menikmati dakgalbi yang lazat dan sihat tanpa perlu bersusah-payah menyediakan banyak bahan dan yang paling penting, produk ini tahan selama satu tahun pada suhu bilik,” katanya.
Sementara itu, Puan Siti Zubaidah berkata pihak IFSSA juga turut menghasilkan produk patty burger berasaskan cendawan tiram kelabu di mana cendawan tiram kelabu sebagai bahan utama dalam pembuatannya.
Secara umumnya, patty cendawan ini mengandungi protein yang tinggi, lemak yang rendah dan tidak mengandungi kolesterol menjadikannya sesuai untuk dinikmati oleh semua golongan terutamanya golongan vegan dan vegetarian.
“Keistimewaan patty cendawan ini ialah ianya menggunakan cendawan tiram yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan, bebas GMO, juga tanpa pewarna dan perasa tambahan.
“Produk ini telah melalui beberapa peringkat penyelidikan bagi menjamin kualiti dan kestabilan agar sentiasa menepati citarasa pengguna. Setiap kotak mengandungi 10 keping patty cendawan dan pengguna boleh memilih cara untuk memasak sama ada memanggang atau menggoreng sesuai dengan citarasa tersendiri.
Patty cendawan ini dibantu dengan dana di bawah Program Pembangunan Produk Dan Penjenamaan, Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bermula yang pada Sepember 2021 sehingga Ogos 2022.
Dengan terciptanya produk inovasi ini, diharapkan agar usaha untuk menjadikan cendawan sebagai sumber alternatif kepada daging burger sedia ada di pasaran di samping membantu menyokong pengusaha cendawan bagi menghasilkan produk hiliran berasaskan cendawan.

Web Traffic

2.png8.png6.png2.png5.png9.png
Today171
Yesterday316
This week171
This month8107
Total286259

Who Is Online

1
Online

2024-04-29

Search