KOTA BHARU 5 Ogos 2024 I Graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) digalakkan menguasai minimum empat hingga lima bahasa supaya mereka menjadi pilihan majikan semasa menghadiri temu duga kerana mereka ini akan memberi kelebihan kepada organisasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata, pelajar yang memiliki kemahiran dalam bahasa asing menjadi nilai tambah dan diberi pertimbangan oleh majikan untuk memilih graduan mendapat pekerjaan.
Beliau berkata, pelajar yang menguasai empat hingga lima bahasa mendapat peluang yang besar berbanding graduan lain.
“Saya yakin mereka ini mampu menguasai tiga hingga empat bahasa ketika tempoh pengajian mereka selama empat tahun di Universiti. Contohnya pelajar baharu pada kemasukan pada Oktober 2024 dan tamat pengajian pada Ogos 2029. Mereka boleh mempelajari bahasa lain antaranya Mandarin, Tamil, Arab, Korea dan Jepun.
“Pelajar perlu ada komitmen, boleh belajar dari youtube atau media sosial lain kerana saya lihat kebanyakan anak-anak di bandar-bandar hari ini sudah menguasai dan bercakap menggunakan Bahasa Inggeris, sedangkan mereka tidak belajar di sekolah antarabangsa. Selain, itu pensyarah juga perlu memainkan peranan dan sentiasa memberi galakan kepada pelajar untuk mempelajari bahasa asing.
“Pada hari ini, kelayakan akademik semata-mata tidak menjanjikan graduan berupaya mendapat peluang pekerjaan kerana ramai dalam kalangan majikan mencari pelajar yang memiliki nilai tambah,” katanya pada program Bicara Akademia: The Survival of Teaching And Learning of Higher Education in The Future anjuran Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik (PKPA), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Turut hadir, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Pengarah PKPA, Prof. Madya Dr. Mohamad Najmi Bin Masri.
Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar juga percaya sekiranya semua pelajar yang keluar dari universiti awam ataupun swasta mampu menguasai empat hingga lima bahasa, sudah pasti universiti di Malaysia menjadi rebutan pelajar antarabangsa ke Malaysia disebabkan oleh faktor graduan Malaysia boleh menguasai banyak bahasa.
Katanya, kemahiran menguasai bahasa asing juga boleh mempercepatkan proses negara mencapai hab pendidikan tinggi global pada tahun 2025.
“Ini salah satu strategi kita untuk menarik pelajar antarabangsa dalam menjenamakan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini supaya mendapat perhatian masyarakat dunia.
“Bagi memastikan negara-negara tersebut menghantar pelajar-pelajar ke Malaysia, kita mesti ada satu tarikan, itulah yang sedang kita usahakan,” katanya.
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Arham berkata, penganjuran program Siri Bicara Akademia diadakan sebagai sesi perkongsian secara ilmiah berkaitan hala tuju pendidikan tinggi di UMK dan Malaysia amnya, meneroka hasil pemikiran dan idea baharu dalam era pendidikan masa kini dan seterusnya memberi pendedahan kepada ahli akademik supaya bersedia dengan perkembangan teknologi dan cabaran sebagai pendidik masa kini.
Katanya, Siri Bicara Akademia dimulakan dengan perkongsian idea dan pengalaman oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap Profesor Emeritus UMK.
“Di UMK, Pusat Pengurusan Kualiti Universiti (PPQ) dan Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik (PKPA) bertanggungjawab untuk membangun, merencana ke arah kualiti akademik universiti, serta menjadi pemudahcara antara PTj akademik dan MQA. MQA membantu dan menasihati program di PPQ untuk mengekalkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui Standard Pendidikan,” katanya.