KOTA BHARU 30 Mac I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) menerima peruntukan dana berjumlah RM940,000 dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membangunkan syarikat pelajar berteraskan produk inovasi melalui Projek Keusahawanan Nasional: Structured Entrepreneurial Incubator Program (SEIP).
Pengarah Kanan UMKEI, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, UMK diberi kepercayaan oleh KPT untuk menjayakan projek SEIP dengan menyasarkan untuk melahirkan 200 orang usahawan pelajar dan daripada jumlah itu sekurang-kurangnya 40 syarikat pelajar dapat diterbitkan.
Katanya, sasaran ini selari dengan hasrat KPT pada teras ketiga dalam Pelan Tindakan Keusahawanan 2021 - 2025 untuk melahirkan lebih ramai usahawan graduan yang berinovatif dan kreatif yang berfokus kepada ‘opportunity driven entrepreneur, instead of necessity driven entrepreneur’.
“Dengan memenuhi misi ini, SEIP akan menyumbang kepada pembangunan usahawan, penciptaan pekerjaan, dan memberikan peningkatan ekonomi negara sejajar dengan dasar kerajaan Malaysia menjadi negara keusahawanan pada tahun 2030.
“Pada peringkat awal telah berlangsung beberapa pertemuan secara atas talian dan pada hari ini buat pertama kalinya, kira-kira 60 peserta yang terdiri dari ketua-ketua projek daripada 10 inkubator terpilih bersama-sama pensyarah pembimbing dan usahawan pelajar bertemu-mata secara fizikal di UMK melalui program SEIP Bootcamp 1: Market Inteligence, VOICE Canvas and Business Confidence,” katanya pada Majlis
Perasmian SEIP oleh Pengarah Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, En. Redhauddin Kamaruzaman di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan, pada 29 Mac 2021.
Turut hadir, Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Prof.Madya Dr Mohammad Ismail dan Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME), Dr. Anis Amira Ab Rahman.
Pada majlis itu, En. Redhauddin turut menyempurnakan majlis penyampaian watikah pelantikan kepada Prof. Dr. Nik Maheran selaku Ketua Projek SEIP manakala Prof Madya Dr. Mohammad sebagai Timbalan Ketua
Projek SEIP serta kesemua 10 Ketua Projek Inkubator yang terlibat dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor dan Kelantan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Politeknik Muadzam Shah Pahang serta Politeknik Melaka.
Bootcamp pertama Projek SEIP ini diadakan bermula 26 hingga 29 Mac 2021 dimana para peserta didedahkan dengan empat modul utama termasuklah Product Positioning and Pricing, VOICE Canvas and Business Pitching, Business Confidence and Leadership dan Market Intelligence and Product Demand. Bootcamp ini dilaksanakan di bawah fasa Incubation, yang merupakan salah satu daripada 4 fasa pelaksanaan Projek SEIP.
Modul-modul bootcamp disampaikan oleh empat pakar dalam bidang masing-masing termasuklah Prof. Dr. Nik Maheran serta jurulatih keusahawanan yang juga Pengarah Mariwealth Group of Companies, Dr. Nik Marzuki Nik Muhammad, Pengarah Youthfuel Sdn. Bhd. dan Pengacara TV Sambilan di Bernama TV, Puan Sonia Ayesha Dato’ Rashidi dan Pengasas Nox Ethoz Nusantara Sdn Bhd., Dato’ Roslan Ab Hamid.
Sementara itu, En. Redhauddin berkata, KPT khususnya di JPT dan bahagian dasar KPT sentiasa memberi sokongan yang padu terhadap sebarang aktiviti atau program yang memberi manfaat yang besar kepada pelajar, universiti dan masyarakat.
Beliau percaya melalui lima kluster projek inkubator SEIP iaitu (Social Enterprise, Agro Industry, Creative Industry, Science andTechnology dan Digital Technology) akan meningkat lagi bilangan usahawan pelajar dan graduan usahawan.
“Program ini juga tentunya seiring dengan salah satu objektif yang di gariskan dalam kurikulum bersepadau EIE iaitu untuk membangunkan dan memperkukuh ekosistem keusahawanan inklusif di IPT untuk menghidupkan kembali Pendidikan Keusahawanan dan meningkatkan motivasi pelajar untuk keusahawanan,” katanya.
Beliau berharap projek SEIP ini berjalan seperti yang dirancangkan dan program ini mampu menghasilkan satu impak yang sangat signifikan dalam melonjakkan keusahawanan dalam kalangan usahawan pelajar dan usahawan graduan.