KEUSAHAWANAN

Keusahawanan

ALUMNI UMK JADI 'TAUKE' NANAS RAIH PENDAPATAN LUMAYAN

GRADUAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sama sekali tidak menyangka percubaannya untuk mengusahakan tanaman nanas di Kampung Chuchuh Puteri, Kuala Krai, Kelantan, sekitar tiga (3) tahun lepas membolehkan beliau kini meraih pendapatan lumayan, mencecah sehingga lima (5) angka bagi semusim.

Wan Lokman Wan Haron, 33, alumni pertama dari Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) UMK itu berjaya membuktikan bahawa bidang agro tani mampu memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara serius dan komited.

Katanya selepas tiga (3) tahun berpanas dan bermain lumpur, akhirnya ladang nanas miliknya yang diusahakan di atas tanah seluas 10 ekar di Kampung Chuchuh Puteri itu mampu menghasilkan sekitar tujuh (7) tan nanas semusim.

"Ia dijual dengan harga borong di pasaran tempatan iaitu RM2.50 sekilogram (nanas Madu Kaca) manakala nanas varieti MD2 pula dijual pada harga RM4 sekilogram.

"Bagi jualan secara runcit harga sekilogram nanas Madu Kaca sekitar RM3.50 hingga RM5.00 dan nanas MD2 mencecah harga RM5.00 hingga RM8.00 sekilo bergantung kepada pasaran semasa," katanya.

Wan Lokman berkata nanas MD2 antara yang menjadi rebutan dan mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang manis, lebih berjus dan serat yang bagus untuk kesihatan.

"Saya memulakan tanaman ini menggunakan modal sekitar RM30,000.00 yang diperoleh daripada wang simpanan keluarga saya, dengan memulakan tanaman secara berperingkat dengan memperoleh anak benih nanas yang dibeli di pasaran," katanya.

Wan Lokman turut menyifatkan pengalaman belajar ketika menuntut di UMK banyak membantunya untuk menjadikan bidang pertanian sebagai 'lubuk rezeki' baginya.

"Saya juga merancang untuk mempelbagaikan hasil pertanian pada masa akan datang dengan mengusahakan kebun durian, sayur-sayuran dan beberapa lagi hasil tanaman lain. Saya turut menaruh harapan tinggi untuk menjadikan kawasan Kampung Chuchuh Puteri ini antara lokasi pengeluaran nanas premium di Kuala Krai," tambahnya.

2

Web Traffic

2.png8.png5.png1.png5.png9.png
Today92
Yesterday402
This week1410
This month7007
Total285159

Who Is Online

1
Online

2024-04-26

Search