KEUSAHAWANAN

Keusahawanan

PELAJAR UMK MAHU BINA EMPAYAR PERNIAGAAN FESYEN

BERMULA dengan minat mendalam terhadap dunia fesyen, pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini menjana pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit pada usia muda walaupun masih melanjutkan pengajian di universiti.

Wan Nurul Aida Nazwa Wan Ahmad, 22, pelajar tahun dua itu bukan sahaja sudah bergelar usahawan tetapi kini menjadi pemilik kepada syarikat Dwans Collection yang menjual pakaian wanita.

Menurut Wan Nurul Aida, mengimbau kembali detik awal tertubuhnya perniagaan ini apabila beliau mendapati tidak mendapat komisen yang sewajarnya sebagai ejen jualan pakaian.

Katanya, oleh kerana komisyen yang diterimanya sebagai ejen dilihat tidak berbaloi dengan usaha yang dilakukanya, maka bermula dari situlah tercetusnya idea untuk membuka sebuah perniagaan sendiri.

Bermula dengan modal RM500 melalui simpanan sendiri, beliau kemudian memulakan perniagaan dengan mengeluarkan satu koleksi pakaian dari hasil rekaan sendiri yang menarik minat pelanggan. Sebagai langkah permulaan, beliau terlebih dahulu mengambil dan mengumpul pesanan dari pelanggan secara pra-pesanan (pre-order).

“Dwans Collection mengetengahkan konsep fesyen kontemporari sesuai dengan gaya penampilan wanita masa kini dimana koleksi pakaian eksklusif semakin mendapat tempat dihati pelanggan.

“Sasaran jualan adalah dalam kalangan wanita berumur 18 hingga 35 tahun dengan harga yang dijualnya amat berpatutan dan mampu milik iaitu di bawah RM150,” katanya.

Wan Nurul Aida yang berasal dari Machang, Kelantan berkata, perniagaannya baharu sahaja menjangkau setahun tetapi pernah memperolehi keuntungan hampir RM 10 ribu sebulan.

Wan Nurul Aida mengakui penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan banyak perniagaaan dan terdapat pengusaha syarikat mula gulung tikar.

Namun, beliau terus melangkah ke hadapan dengan mengaktifkan perniagaannya secara dalam talian iaitu menerusi Facebook, Whassap dan Instagram dengan tagline “Exclusive clothing in your own style”, sebagai strategi promosi.

Selain itu, beliau juga mengikuti pelbagai kursus dan bengkel perniagaan untuk mendalami kemahiran dan strategi perniagaan dengan lebih berkesan.

Katanya, walaupun masih bergelar pelajar Universiti tetapi itu bukanlah satu halangan bagi dirinya untuk menceburi bidang perniagaan.

“Industri perniagaan memang mencabar dan antaranya pada pelaksanaan PKP 1.0 dimana banyak stok baharu tidak terjual kerana kerajaan menghadkan urusan pembukaan booth secara fizikal.

“Tetapi saya tetap mengekalkan momentum dengan sentiasa berfikiran dan belajar menambahbaik operasi perniagaan dari semasa ke semasa,” katanya mengimbau cabaran waktu permulaan perniagaan.

“Walaupun kebanyakan premis dan butik perniagaan sekarang banyak yang tidak beroperasi tetapi melalui inisiatif secara online, beliau berjaya menggerakkan operasi perniagaan dengan memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan online”, katanya

Dengan cara tersendiri, selain menitikberatkan kepada kualiti pakaian, Aida turut mengetengahkan inovasi dalam pemasaran yang sedikit berbeza dengan perniagaan pakaian wanita lain. “Saya menjaga imej perniagaan dengan menitikberatkan kualiti gambar sebelum memuatnaik ke media sosial”, tambahnya lagi.

Kini, Dwans Collection juga sudah memiliki ruang menyimpan stok pakaian , mini office dan ruang studio sendiri untuk sesi rakaman model pakaian.

Wan Nur Aida juga mengakui bimbingan dan tunjuk ajar dari mentor iaitu pensyarah UMK untuk mengikuti program-program latihan keusahawanan bagi membantu menjana idea perniagaannya.

Sementara itu, perancangan masa hadapan Dwans Collection adalah untuk membuka lebih banyak cawangan di seluruh negeri di Malaysia dan menembusi pasaran luar Negara seperti Thailand dan Indonesia.

Katanya, dalam tempoh lima bulan akan datang beliau mahu jenama perniagaan Dwans Collection terus dikenali dengan mempelbagaikan produk seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen atau dropship di bawah Dwans Collection.

“Saya mahu memantapkan lagi strategi pemasaran, pembangunan website untuk mencapai sasaran RM100 ribu pada tahun kedua perniagaan ini. InshaAllah,” katanya.

WhatsApp Image 2021 08 19 at 1.48.36 PM

Web Traffic

1.png2.png3.png5.png3.png1.png
Today192
Yesterday294
This week192
This month3770
Total123531

Who Is Online

2
Online

2022-08-15

Search