KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memenangi Anugerah Institusi Terbaik Keusahawanan bagi Kategori Universiti anjuran Kementerian Pengajian Tinggi 2021.
Anugerah sempena Majlis Anugerah Keusahawanan (AKKPT21), diadakan di sebuah hotel di Putrajaya Marriott Hotel, baru-baru ini. Anugerah itu disampaikan Menteri Pendidikan, YB Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad.
Turut hadir, Menteri Pembangunan dan Usahawan, YB Tan Sri Noh Omar, Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Razli Che Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Pengarah Kanan Institut Keusahawanan UMKEI, Prof. Madya Dr. Mohammad Ismail dan Pendaftar UMK, Mazula Sabudin.
Dengan kejayaan itu, UMK membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM150,000, plak dan sijil.
Sementara itu, produk perencah King Oden yang diusahakan Imer Jibril Mohd Nasir dan rakan kongsinya, Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim turut layak ke peringkat akhir bagi kategori Anugerah Perusahaan Pelajar Terbaik AKKPT21.
Dr Nik Maheran, ketika ditemui berkata, UMK berbangga dengan kejayaan itu sehingga berjaya merangkul anugerah berkenaan selepas 14 tahun universiti tersebut ditubuhkan.
Pada masa yang sama, jelas beliau buat pertama kali UMK berjaya merangkul anugerah keusahawanan institusi terbaik AKKPT21.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan ekosistem keusahawanan yang kondusif terhadap pembangunan dan pendidikan keusahawanan melalui program-program keusahawanan yang lebih terancang dan holistik.
“Saya merakamkan penghargaan dengan usaha dan penat lelah semua pihak serta menganggap kejayaan ini bukan usaha UMKEI sahaja tetapi seluruh pasukan kerana tanpa sokongan dan kerjasama semua tidak mungkin memenangi anugerah ini.
“Selain itu, inspirasi mantan Naib Canselor banyak membantu kita mencapai banyak kejayaan. InsyaAllah, kita akan berusaha mengekalkan aspirasi ini untuk memberi yang terbaik kepada anugerah-anugerah lain di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dr Nik Maheran juga berkata kejayaan ini juga meletakkan UMK di landasan yang terbaik bagi mencapai agenda Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu.
AKKPT yang dahulunya dikenali sebagai ‘Ministry of Education Entrepreneurial Awards’ (MEA) mula diperkenalkan sejak 2011.
Anugerah itu juga platform pengiktirafan tertinggi kementerian terhadap komitmen jitu dan usaha tanpa jemu institusi pendidikan tinggi, tenaga pengajar, para pembimbing, pelajar dan graduan, untuk memperkasakan agenda keusahawanan di IPT, selain meningkatkan persaingan sihat dan menyuburkan semangat keusahawanan.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan untuk AKKPT21 iaitu Institusi Terbaik Keusahawanan, Perusahaan Pelajar Terbaik, Perusahaan Graduan Terbaik, Mentor Usahawan Terbaik dan Projek Usahawan Sosial Terbaik.
Pada majlis itu Dr. Noraini turut menyampaikan hadiah kepada Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang memenangi anugerah bagi kategori Politeknik dan Kolej Komuniti Sungai Petani bagi kategori Kolej Komuniti.