KOTA BHARU 18 Julai 2024 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini melakar sejarah apabila melancarkan produk kosmetik hasil kajian oleh Pensyarah Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Prof. Madya Ts. Dr. Siti Nuurul Huda binti Mohammad Azmin dibawah jenama Clasiti.
Dua produk Clasiti yang diperkenalkan ini adalah losyen berasaskan kulit tembikai dan pelembap bibir daripada gabungan tomato, lobak merah dan minyak kelapa dara atau dikenali sebagai V- Lycotene dan Sitrylux yang dikomersialkan oleh anak syarikat hiliran UMK, SNH Cosmetic Lab Sdn. Bhd.

Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak berkata, produk yang dihasilkan itu adalah menerusi penyelidikan makmal sejak tahun 2019 oleh SNH Cosmetic Lab iaitu sebuah syarikat hiliran di bawah seliaan Bahagian Komersial dan Harta Intelek (ICD) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK.
Beliau berkata, produk inovasi ini telah menerima pencapaian cemerlang dengan memenangi lebih daripada 20 anugerah tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai pertandingan inovasi.
“UMK amat berbesar hati kerana majlis pelancaran jenama Clasiti ini merupakan satu-satunya jenama eksklusif hasil penyelidikan yang inovatif melalui kerjasama antara pihak akademik dan industri.

“Pelancaran Clasiti adalah bukti nyata kepada usaha kita dalam menggalakkan kerjasama antara akademik dan industri. UMK sentiasa berusaha untuk menjadi peneraju dalam penyelidikan dan inovasi serta menyediakan ekosistem sokongan yang terbaik kepada para penyelidik.
“Kerjasama ini menunjukkan kaedah penyelidikan yang dijalankan di universiti kita boleh diterjemahkan menjadi produk yang memberi manfaat kepada masyarakat, dengan inisiatif untuk menghasilkan produk yang halal dan suci, selamat, bermutu tinggi serta dijamin keberkesanannya melalui penyelidikan makmal,” katanya pada Majlis Pelancaran Jenama "CLASITI" bertempat di Ignites Venture Lab (IVL), UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Dekan FIAT, Prof. Madya Dr. Seri Intan Binti Mokhtar, Pengarah Kanan RMIC, Prof. Ir. Ts. Dr. Julie Juliewatty Binti Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UMK Holdings Sdn Bhd, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, rumusan kedua-dua produk ini telah dioptimumkan untuk menghasilkan produk yang berkualiti tanpa campuran bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) yang penggunaannya kini semakin meluas berikutan mudah diperoleh.
Katanya, produk yang diformulasikan oleh esktrak buah tembikai sudah mula memasuki pasaran melalui jualan platform atas talian selain kerjasama bersama pihak industri untuk memasarkan ke peringkat lebih tinggi.

“Produk jenama Clasiti adalah contoh cemerlang tentang semangat keusahawanan boleh mendorong penyelidikan untuk menjadi produk yang mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Bidang keusahawanan adalah teras kepada segala usaha kita di UMK dan semua penyelidik UMK perlu menghayati maksud semangat keusahawanan ini dengan mencipta peluang baharu dan menghasilkan inovasi yang boleh memberi impak besar.
“Pencapaian SNH Cosmetic Lab Sdn Bhd mengkomersialkan produk ini boleh membawa hasil penyelidikan ke dalam pasaran Malaysia dan ke pasaran global suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Nuurul Huda, berkata beliau dan kumpulan penyelidik telah mencipta formulasi berasaskan ekstrak kulit tembikai bagi menghasilkan produk losyen badan dan tangan dengan SPF daripada yang terbukti melalui kajian dapat menghilangkan kedutan, memutihkan dan melembapkan kulit.
Katanya, produk ini mengandungi SPF untuk melindungi kulit daripada sinar UV dan radikal bebas.

“Produk ini adalah gabungan sains dan kecantikan melalui produk inovatif yang dirumus secara khusus dengan teliti dan penuh kasih sayang bagi meraih kecantikan yang sejati dengan Clasiti.
“Selain esktrak tembikai, Clasiti juga memperkenalkan V-Lycotene iaitu produk penjagaan kulit yang diperkayakan dengan khasiat daripada minyak kelapa dara (Virgin Coconut Oil), ekstrak tomato (Lycopene) dan ekstrak lobak merah (Beta-carotene),” katanya.
Tambah beliau, produk V-Lycotene terdiri daripada beberapa rangkaian produk penjagaan kulit yang telah dihasilkan melalui dan telah menjalani beberapa siri penambahbaikan melalui pengujian makmal.
“Bagi majlis pelancaran hari ini, Clasiti membawakan pelembap bibir V-Lycotene ke pasaran setelah melalui analisis sensori terhadap lebih daripada 100 orang awam. Produk-produk yang lain seperti cleanser, serum, moisturiser dan lain-lainnya akan menyusul tidak lama lagi,” katanya.







