BACHOK 29 Julai 2024 I Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hannan Medispa Sdn. Bhd., Dr. Mohd Hannan Mohd Yusof dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), berkuat kuasa 29 Julai 2024 hingga 28 Julai 2025.
Pelantikan Dr. Mohd Hannan sebagai Profesor Adjung berdasarkan kepada sumbangan dan kepakaran beliau serta pengalaman luas selama 11 tahun dalam menguruskan 113 cawangan Hannan Medispa di seluruh Malaysia.
Majlis penyerahan surat lantikan Profesor Adjung telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak kepada Dr. Mohd Hannan, di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori, UMK Bachok, Kelantan, hari ini.
Dato’ Prof. Dr. Razli percaya dengan pelantikan tersebut membolehkan Dr. Hannan berkongsi khidmat kepakaran dan nasihat kepada pihak FHPK, khususnya di Elysian Spa.
Beliau berkata, menerusi kerjasama ini UMK dapat memastikan agar penyeragaman perkhidmatan Elysian Spa mengikut ketetapan standard dan kualiti antarabangsa dilaksanakan selain memastikan perkhidmatan spa yang ditawarkan adalah bermutu tinggi serta diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Ini menjadi satu titik permulaan kepada kerjasama strategik yang lebih meluas lagi di antara Hannan Medispa dan UMK di masa akan datang.
“Selain itu, kerjasama strategik bersama pihak Hannan Medispa bakal memainkan peranan yang sangat penting dalam mendokong ekosistem pengkomersialan produk R&D universiti di Bahagian Komersialan dan Harta Intelek, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMK, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Profesor Adjung Dr. Mohd Hannan dan Mock Cheque Dana Pemula Playmasjid App dan Program Hari Kesedaran Kosmetik Selamat: IFFSA x Hannan Medispa.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK Prof. Ts. Dr. Arham bin Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad bin Ismail, Dekan FHPK , Prof. Madya Dr. Mohd Fadil bin Mohd Yusof dan Pengarah Kanan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Prof. Ts Dr. Julie Juliewatty Mohamed.
Pada majlis tersebut, Dato’ Prof. Dr. Razli turut menerima sumbangan daripada Dr. Hannan sebanyak RM 5,000 bagi Dana Aplikasi Playmasjid, iaitu perisian yang dibangunkan oleh syarikat pelajar UMK dan RM 10,000 bagi penganjuran Program Hari Kesedaran Kosmetik Selamat: IFSSA x Hannan Medispa.
Sebelum itu, turut berlangsung sesi perbincangan antara Hannan Medispa dan tiga produk syarikat hiliran UMK iaitu Stingless Bee Honey Gummies, produk inovasi Dr Zubaidah Aimi (FBKT), produk Hand and Body Lotion, produk keluaran SNH Cosmetic Lab Sendirian Berhad di bawah Prof. Madya Ts. Dr. Siti Nuurul Huda selaku Pengarah Urusan dan Gingerol-based Health Product, produk inovasi hasil penyelidikan Prof Madya Ts. Dr. Suganthi A/P Appalasamy.
Sementara itu, Dr. Hannan, menyifatkan pelantikan sebagai Profesor Adjung FHPK sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar yang diamanahkan kepada beliau untuk memajukan industri spa dan kesejahteraan di UMK.
Katanya, bidang spa adalah antara bahagian penting dalam industri hospitaliti dan pelancongan dan mempunyai potensi besar dalam mempengaruhi gaya hidup, kesejahteraan dan kualiti hidup manusia.
“InsyaAllah, sebagai Profesor Adjung saya bertekad untuk menyumbang pengetahuan dan pengalaman saya dalam mengembangkan pendidikan, penyelidikan dan pengabdian masyarakat yang relevan dengan keperluan industri dan masyarakat.
“Koloborasi yang baik dan erat antara universiti serta industri dilihat berjaya mencapai sesuatu yang luar biasa dalam memperkasakan serta menyediakan mahasiswa yang memenuhi keperluan industri,” katanya.