KOTA BHARU, 5 November 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah melantik Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato' Norasni Ayob, sebagai Profesor Adjung di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) untuk tempoh setahun, berkuat kuasa pada 1 September 2024.
Pelantikan Dato’ Norasni adalah berdasarkan pengalaman beliau yang luas selama 35 tahun dalam bidang pengurusan dan pengukuhan tadbir urus dalam sektor perbankan di Malaysia.
Majlis penyerahan Watikah Pelantikan Profesor Adjung telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, hari ini. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Huzili Hussin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMK, Prof. Dr. Mohammad Ismail, serta Pengarah Kanan Institut Keusahawanan UMK (UMKEI), Prof. Dr. Mohd Nor Hakimin bin Yusoff.

Dato’ Norasni merupakan seorang pemimpin berkarisma yang mahir dalam merancang strategi, penggubalan dasar, pengurusan kewangan, serta piawaian etika. Beliau juga berpengalaman luas dalam meningkatkan operasi dan perubahan dalam sektor perbankan.
Sebelum itu, Dato’ Norasni turut berkongsi pengalaman berharga beliau dengan lebih 350 pelajar yang hadir pada Sesi Perkongsian Bersama Profesor Adjung bertajuk “Menjadi Graduan Pilihan Industri”. Pada sesi tersebut, Prof. Dr. Mohd Nor Hakimin bertindak sebagai moderator.








