KOTA BHARU, 16 Oktober 2024 – Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Encik Rizal bin Dato’ Nainy, dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkuatkuasa dari 1 Mei 2024 hingga 30 April 2026.
Majlis penyampaian watikah pelantikan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak, dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, dan Dekan FKP, Prof. Madya Ts. Dr. Zailani bin Abdullah.
Sementara itu, pada majlis yang sama turut berlangsung Program Chairman Entrepreneurship Lecture Series (CELS) Siri 2/2024 yang disampaikan oleh Prof. Adj. Rizal Dato’ Nainy, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.

Menurut Dato’ Prof. Dr. Razli, Program Chairman Entrepreneurship Lecture Series (CELS) ini bukanlah program baharu yang dilancarkan di UMK kerana program ini telah dimulakan pada tahun 2018 dan dihentikan seketika semasa pandemik Covid-19.
Katanya, bertepatan dengan amanah dan tanggungjawab, UMK telah menetapkan hala tujunya untuk mencapai status sebagai Universiti Keusahawanan No. 1 di Asia menjelang tahun 2025.
“Bagi mencapai matlamat tersebut, ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Sokongan, dorongan, serta kerjasama seluruh warga UMK perlu disepadukan dengan semangat kesefahaman yang jitu dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Oleh itu, bagi mencapai hasrat ini, kita perlu menyemai nilai-nilai ilmu daripada tokoh-tokoh usahawan terkemuka kepada seluruh warga UMK agar nilai keusahawanan dapat disuburkan dan mekar di dalam diri mereka,” katanya.
Justeru itu, program CELS ini menampilkan tokoh-tokoh keusahawanan yang terkemuka untuk dijadikan teladan dan rujukan bagi memberikan impak yang lebih baik kepada warga UMK, bakal usahawan, serta usahawan setempat.









