KEUSAHAWANAN

Keusahawanan

JUALAN PRODUK BIOKENAF UMK CATAT RM3.7 JUTA DI PASARAN RAIH ANUGERAH INOVASI LKTN 2025


KOTA BHARU 27 April 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diumum sebagai penerima Anugerah Inovasi Lembaga Kenaf Tembakau Negara (LKTN) 2025 sempena Majlis Apresiasi LKTN 2025 yang berlangsung di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Anugerah itu diraih melalui Produk Biokenaf yang dihasilkan oleh penyelidik Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) UMK merangkap Pengarah Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA), Ts. Dr. Maryana Mohamad Nor.

270525-04-02.jpg
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Komoditi dan Perladangan, YB. Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan diiringi oleh Pengerusi LKTN, Datuk Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah kepada Ts. Dr. Maryana dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Aura Biocare Sdn. Bhd., En Mohamad Bukharie Che Harun.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik & Pengurusan), Dato’ Abdul Hadi Omar dan Ketua Pengarah LKTN, Tn. Haji Wan Baharuddin Wan Ismail.

270525-04-03.jpg
Hadir sama, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohammad Ismail, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Prof. Ir. Dr. Julie Juliewatty Mohamed dan Pengarah Bahagian Komersialan dan Harta Intelek, RMIC, Prof Madya Ts. Dr. Mardawani Mohamad.
Menurut Prof. Dr. Mohammad, kejayaan produk biokenaf adalah inovasi penyelidik UMK berdasarkan pencapaian dalam mengkomersialkan produk berasaskan daun kenaf, sekali gus memberi impak ekonomi dan sosial yang besar kepada perkembangan industri tempatan.

270525-04-04.jpg
Beliau berkata, dalam tempoh tujuh bulan berada di pasaran Biokenaf telah mencatat jualan sekitar RM3.7 juta sekaligus berjaya menembusi pasaran tempatan.
“Produk kerjasama strategik antara UMK dan Syarikat Aura Biocare Sdn. Bhd. adalah usaha universiti dalam memacu aktiviti penyelidikan dan inovasi ke peringkat pengkomersialan yang memberi impak kepada industri dan masyarakat.
“Anugerah Inovasi LKTN merupakan inisiatif LKTN untuk mengiktiraf produk dan projek inovasi yang berjaya diterjemahkan ke pasaran, sekaligus memperkukuhkan ekosistem pengkomersialan produk dalam industri kenaf,” katanya.

270525-04-05.jpg
Sementara itu, Prof Madya Ts. Dr. Mardawani berkata, Biokenaf merupakan produk bernilai tambah tinggi kepada industri kenaf dan dengan adanya pelancaran siri produk Biokenaf pada bulan hadapan bakal memperkasakan pembangunan industri kenaf negara, sekali gus merangsang pertumbuhan sektor ini secara lebih mampan.
Katanya, UMK akan terus komited dalam memperkasakan agenda inovasi dan pengkomersialan, sejajar dengan aspirasi negara ke arah pembentukan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
“Biokenaf dihasilkan bertujuan meningkatkan proses metabolisme dalam badan dengan menumpukan pencernaan karbohidrat dan membantu pengawalan penyerapan gula dalam darah.
“Produk ini dapat membantu memperbaiki fungsi insulin dan membantu mengawal selera makan secara efisien.
“Ia terbukti berkesan sejak dikomersialkan pada September 2024 dan sehingga kini menerima permintaan tinggi daripada pengguna sehingga jualan mencecah RM3.7 juta dalam tempoh tujuh bulan di pasaran,” katanya.

Web Traffic

4.png3.png6.png9.png2.png5.png
Today
Yesterday
This week
This month
Total436925

Who Is Online

3
Online

2025-11-07

Search