KOMUNITI

Komuniti

UMK BERSAMA KOMUNITI: TAMPIL MEMBERIKAN SOKONGAN DI FUTSAL PELAJAR ISTIMEWA

UMK BERSAMA KOMUNITI: TAMPIL MEMBERIKAN SOKONGAN DI FUTSAL PELAJAR ISTIMEWA 

 

KOTA BHARU – 4 MAC│Kecemerlangan dalam bidang sukan bukan sahaja hak pelajar biasa, bahkan ia juga mampu dicapai oleh pelajar berkeperluan khas. Sehubungan itu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan sentiasa menyokong aktiviti yang berteraskan pembinaan kendiri sama ada di bidang akademik mahupun sukan. Baru-baru ini telah berlangsung Kejohanan Futsal Pendidikan Khas Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu 2020 (PPD) bagi pelajar cacat pendengaran dan masalah pembelajaran. Penganjur berbesar hati menjemput UMK untuk menutup kejohanan. Harapan penganjur agar kehadiran UMK akan menyuntik semangat pelajar untuk bercita-cita ke menara gading.

Kejohanan Futsal Pendidikan Khas ini berlangsung selama dua hari bermula 3 Mac dan penutup pada 4 Mac. Ianya julung kali diadakan dengan tuan rumah Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong bertempat di Gelanggang Futsal City Nine, Panji. Sebanyak 11 buah sekolah menengah di bawah PPD Kota Bharu tidak melepaskan peluang menyertainya bagi mencungkil bakat sedia ada mahu pun bakat baru sekolah masing-masing. Pelajar yang berkebolehan dan berbakat ini mempunyai peluang untuk diketengahkan ke arena lebih tinggi disamping memberikan pengalaman kemahiran teknikal kepada murid berkeperluan khas. Penyertaan dari 11 buah sekolah itu ialah PPKI SMK Dewan Beta, SMK Tanjong Mas, SMK Kedai Buloh, SMK Ketereh, SMK Melor, SMK Pengkalan Chepa 2, SMK Panji, SMK Long Ghafar, SMK Kota, SMK Kadok dan SMK Ismail Petra.

Meskipun peserta terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dan juga pendengaran namun, ia bukanlah satu penghalang buat mereka untuk bermain dengan baik.
Menurut Setiausaha Kejohanan ini Puan Intan Shareena, para pelajar dari kesebelas sekolah telah menjalani latihan selama seminggu di gelanggang futsal ini secara bergilir-gilir di samping ada yang turut menjalani latihan tambahan di sekolah masing-masing bagi memperkuatkan lagi kekuatan pemain mereka.

Kejohanan ini dirasmikan oleh Encik Mohd Zamri Abdul Aziz, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu. Seterusnya, ucapan penutup dan penyampaian hadiah oleh Professor Dr. Raja Suzana Raja Kasim, Director Global Enterpreneurship Research & Innovation Centre, UMk.

Prof. Dr. Raja Suzana yang membahasakan dirinya sebagai “cikgu” dengan para pelajar, menzahirkan rada kagum beliau dengan kebolehan para pelajar sekalian meski
pun mereka berada dalam kategori istimewa tetapi gaya permainan mereka setaraf dengan pelajar biasa.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menyertai kerana jelas dapat dilihat semangat juang anak-anak semua. Tahniah kepada johan namun anak-anak semua adalah yang terbaik," katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah menjayakan kejohanan dan menjemput beliau mewakiki UMK bagi merasmikan majlis penutup.

Johan bagi kejohanan futsal pendidikan khas ini dimenangi oleh PPKI SMK Tanjong Mas, naib juara dimenangi oleh PPKI SMK Kota dan pemenang bagi tempat ke-3 dan ke-4 dimenangi oleh PPKI SMK Mulong dan PPKI SMK Long Ghafar.
Penolong Kanan Pendidikan Khas Integrasi SMK Tanjong Mas, En. Adnan Ibrahim berkata, “Sebenarnya kami tidak mensasarkan SMK Tanjong Mas boleh dinobatkan sebagai juara, kami mahu turut sama sahaja memeriahkan acara ini tetapi Alhamdulillah perancangan permainan yang dilakukan oleh jurulatih dan pengurus kami berjaya menewaskan pasukan-pasukan lain hingga terus berjaya merangkul johan.”

Menurut beliau lagi bukan mudah sebenarnya mengurus dan melatih kumpulan pelajar istimewa ini kerana keupayaan mereka yang terbatas namun segalanya menjadi mudah dengan semangat dan iltizam.

“Bagi menguruskan para pelajar pada peringkat awal adalah susah tetapi disebabkan pihak kami telah mengenalpasti kelemahan dan kemampuan pelajar memudahkan kami untuk melatih mereka,” katanya apabila ditanya mengenai kesukaran dan cabaran dalam mengendalikan pelajar pendidikan khas.

Tambahnya lagi, beliau berharap supaya para pelajar dari sekolah pendidikan khas ini dapat meneruskan kegiatan dan aktiviti-aktiviti mereka sama seperti pelajar arus perdana apabila keluar daripada alam persekolahan dan berharap agar pelajar ini boleh pergi lebih jauh dengan aktiviti-aktiviti sukan yang mereka ceburi.

Oleh: Nurul Athirah Samsu Bahari (Pelatih Industri)
Pusat Komunikasi Korporat

Web Traffic

2.png7.png7.png6.png0.png1.png
Today215
Yesterday403
This week1594
This month8492
Total277601

Who Is Online

2
Online

2024-03-29

Search