KOMUNITI

Komuniti

1500 ASNAF TERIMA SUMBANGAN KEPERLUAN HARIAN PROGRAM KOLABORASI STRATEGIK UMK-AL-KHATIRI

KOTA BHARU 18 Disember I Lebih 1500 golongan asnaf dan miskin dalam komuniti seluruh negeri Kelantan termasuk staf dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima sumbangan sempena Program Kolaborasi Strategik UMK-Al Khatiri dan Penyerahan Sumbangan daripada Jakel.

Majlis perasmian dan penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail dan Pengurus Besar Al Khatiri Group, En. Zaid Abu Bakar, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 17 Disember 2020.

Turut hadir, Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Prof. Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan keluarga asnaf termasuk mereka yang kehilangan pendapatan serta terkesan dengan penularan pandemik Covid 19.

Katanya, sumbangan ini berupa 3,000 kampit beras dengan enam barang keperluan lain adalah sumbangan dari pihak JAKEL sebagai manifestasi kecaknaan mereka pada kekurangan yang dialami oleh golongan asnaf dan miskin.

“Penyerahan sumbangan ini dapat memenuhi keperluan segera golongan asnaf termasuk yang terkesan dengan penularan pandemik Covid 19.

“UMK berterima kasih dan menyambut baik usaha JAKEL ini dan sebelum ini JAKEL telah pun banyak memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat. Cuma pada kali ini sumbangan telah dilaksanakan secara bersama dengan pihak UMK,” katanya.

Tambah beliau, UMK mempunyai kepakaran berkaitan penyelidikan dan membina kapasiti komuniti umum termasuklah komuniti miskin.

“UMK melalui InsPeK turut mempunyai jaringan yang kuat dengan pelbagai agensi, NGO dan komuniti berkaitan kemiskinan. Kali ini, InsPeK UMK telah memanfaatkan jaringan tersebut untuk menyerahkan sumbangan JAKEL secara bersasar,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal berkata, UMK turut melaksanakan kerjasama dengan Yayasan Alkhatiri untuk bersama memperkasakan program dan projek pembangunan ekonomi dalam bentuk pertanian dan penternakan.

“Projek ini dijangkakan akan melibatkan kolaborasi strategik antara kumpulan pakar dari UMK dan pihak Yayasan Alkhatiri.

“Secara khususnya akan melibatkan pakar dari Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA) dan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) UMK.
Kolaborasi strategik tersebut dijangkakan bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, tetapi juga akan ada limpahan manfaat untuk komuniti dari aspek peluang pekerjaan dan kesejahteraan hidup,” katanya.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

asnaf2

Web Traffic

2.png8.png3.png3.png5.png1.png
Today66
Yesterday291
This week1702
This month5199
Total283351

Who Is Online

1
Online

2024-04-20

Search