KOMUNITI

Komuniti

UMK TERIMA SUMBANGAN ZAKAT BERJUMLAH RM947,251.24 DARI LEMBAGA TABUNG HAJI MALAYSIA

BACHOK 1 Mac 2021 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini menerima sumbangan zakat sebanyak RM947,251.24 daripada Lembaga Tabung Haji Malaysia di bawah program Program Iqra’ TH, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Program Bantuan Khas Masyarakat.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Pengarah Tabung Haji Negeri Kelantan, Tuan Haji Ashrof Shamsuddin bagi mewakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Malaysia, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff kepada Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Noor Azizi Ismail sempena Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Kepada Pelajar, Staf Dan Masyarakat, di Bilik Seminar 2, UMK Bachok Kelantan, pada 1 Mac 2021.

Turut hadir, Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Zain Mubarak, Timbalan Pendafar Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, En. Mohd Anuar Ismail dan Timbalan Pengarah Pusat Islam UMK, Dr. Asma Lailee Mohd Noor.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Noor Azizi Ismail, menerusi sumbangan dana zakat berjumlah RM750,000.00 di bawah program Iqra’ IPT ini akan diagihkan kepada 500 pelajar asnaf di ketiga-tiga kampus bagi membantu pelajar asnaf UMK untuk membeli komputer riba dan membiayai yuran pengajian.

Katanya, sumbangan dana zakat daripada Tabung Haji ini diharap mampu meringankan beban pelajar yang kurang bernasib baik dan turut memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan pengajian dengan lebih cemerlang.

"Pemberian wang zakat kepada 500 pelajar ini dipilih daripada 3,000 permohonan selepas iklan bantuan komputer riba dan yuran pengajian diiklankan kepada pelajar.

“Untuk makluman, seramai 8,003 orang pelajar UMK merupakan mereka yang dikategorikan sebagai B40 dan daripada jumlah tersebut, seramai hampir 2,000 pelajar termasuk dalam kategori fakir-miskin iaitu pelajar yang berpendapatan isi rumah di bawah RM1,000,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Noor Azizi berkata, sumbangan dana zakat sebanyak RM197,251.24 akan diagihkan kepada 16 buah masjid dan empat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terpilih di bawah program “Bantuan Khas Masyarakat Terjejas Akibat Pendemik Covid-19 dan Terkesan Banjir UMK.

Katanya, pihak pengurusan institusi masjid dan NGO menjadi perantaraan bantuan kepada masyarakat asnaf yang memerlukan.

“Selain itu, sehingga kini pihak UMK turut menerima sumbangan dan bantuan berjumlah RM343,000.00 daripada pelbagai pihak seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Zakat Waad dari Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan badan-badan korporat lain yang turut sama menyumbang bagi membantu sebahagian pelajar asnaf di UMK.

“Sumbangan zakat ini juga dapat membantu staf dalam kategori B40 menerusi bantuan awal persekolahan kepada anak-anak staf bagi menyediakan kelengkapan sekolah, bantuan saraan pengajian, bantuan sokongan pengajian dan bantuan rumah sewa kepada pelajar UMK,” katanya.

zakat

zakat2

Web Traffic

1.png0.png8.png6.png6.png
Today100
Yesterday163
This week836
This month1193
Total10866

Who Is Online

1
Online

2021-05-07

Search