KOTA BHARU 12 April 2024 I Walaupun tidak pulang beraya di kampung halaman pada 1 Syawal, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tetap dirasakan oleh 28 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila diraikan dengan juadah raya melalui program Raikan Syawal Bersama HEPA, baru-baru ini.
Ketua Bahagian,Bahagian Kebajikan dan Tatatertib Pelajar (BKTP), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Encik Mohd Adli Ismail berkata, pihak UMK telah mengambil inisiatif dengan menyediakan juadah raya pada hari raya pertama (1 Syawal) untuk pelajar yang berada di kampus.
Katanya, penyampaian menu dan juadah hari raya kepada para pelajar ini telah disempurnakan oleh oleh Pengetua UMK Kampus Kota, Dr. Azira Hanani Ab Rahman dan Encik Mohd Adli.
“Objektif utama BKTP menyantuni para pelajar yang tidak pulang ke kampung adalah untuk menyemarakkan kemeriahan hari lebaran kepada mereka yang tidak berkesempatan pulang meraikannya bersama keluarga.
“Selain itu, Program Raikan Syawal Bersama HEPA yang bermula pada 7 hingga 9 April 2024 turut melibatkan penyampaian sumbangan khas hari raya kepada pelajar dalam kategori Asnaf/B40 yang melibatkan semua kampus.
“Penyampaian sumbangan khas hari raya ini telah disempurnakan oleh Ketua Pentadbir HEPA, YM Raja Azlan Raja Ismail, yang mewakili Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dr. Mohammad Ismail,” katanya.
Menurut Encik Mohd Adli, program ini merupakan sebahagian dari tanggungjawab BKTP untuk memperkasakan kebajikan para pelajar dan meraikan para pelajar yang tidak pulang ke kampung pada hari raya.
“Selain dari meraikan para pelajar tersebut,program ini secara tidak langsung menggalakkan para pelajar untuk memupuk semangat kebersamaan HEPA sebagai ahli keluarga. Program ini diharapkan dapat mewujudkan konsep cakna dan keprihatinan UMK terhadap para pelajar terlibat.
“Insya –Allah, program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha menjaga kebajikan pelajar,” katanya.