BACHOK 1 Julai 2024 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan 42 kursus kokurikulum berkredit pada semester ini dengan tujuan untuk menerapkan sifat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa sekali gus berjaya melahirkan graduan yang holistik disamping memupuk kemahiran insaniah.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail berkata, kursus kokurikulum berkredit yang disediakan kepada para pelajar ini merentasi enam teras Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) iaitu Teras Sukan, Teras Badan Berunifrom, Teras Seni Persembahan, Teras Pengurusan dan Keterampilan Diri,Teras Daya Usaha dan Inovasi serta Teras Keusahawanan.
Katanya, setiap kelas kokurikulum berkredit adalah selama 14 minggu.
“Pada akhir pengajaran dan pembelajaran kelas kokurikulum berkredit ini akan diadakan projek akhir untuk menilai aspek insaniah dalam kalangan pelajar. Jumlah fasilitator kokurikulum UMK pada semester ini melibatkan seramai 103 orang dan 76 kelas merentasi tiga kampus UMK pada Semester Februari 2023/2024,” katanya pada Majlis Makan Malam Badan Beruniform dan Majlis Apresiasi Fasilitator Pusat Kokurikulum UMK 2024 di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, Kelantan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Arham bin Abdullah, Ketua Pentadbir HEPA, En. Raja Azlan bin Raja Ismail dan Pengarah Pusat Kokurikulum UMK, Dr. Syarizal bin Abdul Rahim.
Sementara itu, Dr. Syarizal berkata, program ini buat julung kalinya menggabungkan Kokurikulum Berkredit dengan Badan Beruniform yang ditawarkan di Pusat Kokurikulum, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Katanya, kursus universiti berkredit ini wajib diambil oleh semua pelajar UMK bagi memenuhi keperluan akademik dan mula ditawarkan pada sesi akademik Julai 2007/2008.
“Fokus utama penawaran kursus kokurikulum berkredit ini adalah untuk menghasilkan bakal graduan yang mempunyai kemahiran insaniah dan mampu menghadapi persekitaran kehidupan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
“Setiap kursus yang dirangka mempunyai hasil pembelajaran (learning outcomes) yang memfokuskan kepada kemahiran insaniah yang diperlukan oleh pihak pemegang taruh,” katanya.
Tambah beliau, pada majlis kali ini, Pusat Kokurikulum menyediakan tujuh anugerah utama iaitu Anugerah Fasilitator Terbaik Teras Daya Usaha dan Inovasi, Anugerah Fasilitator Terbaik Teras Keusahawanan, Anugerah Fasilitator Terbaik Pengurusan dan Keterampilan Diri, Anugerah Fasilitator Terbaik Teras Sukan, Anugerah Fasilitator Terbaik Teras Seni Persembahan, Anugerah Fasilitator Terbaik Teras Badan Beruniform dan Anugerah Ketua Teras Terbaik.


