GUA MUSANG 2 Ogos 2024 I Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menganjurkan Program Outreach KPT @ Kelantan (Gua Musang) sebagai salah satu inisiatif perkongsian ilmu, aktiviti dan khidmat bakti antara mahasiswa IPT dengan masyarakat setempat.
Program yang melibatkan 100 sukarelawan itu diadakan di Kampung Serian dan Kampung Limau Kasturi, Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail berkata, program ini adalah anjuran Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi dan UMK sebagai Universiti Penyelaras menjayakan program tersebut.
Beliau berkata, Program Outreach KPT kali ini diteruskan di Gua Musang sebagai salah satu usaha KPT bersama dengan komuniti melalui kemahiran dan pemindahan ilmu antara KPT dan masyarakat
“Alhamdulillah, program hari ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi. YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang turut beramah mesra dengan penduduk Kampung Serian dan Kampung Limau Kasturi.
“UMK telah bertindak mengkoordinasikan program ini bersama wakil penduduk setempat, termasuk kerjasama antara UMK dengan kolej-kolej komuniti. Program ini bertujuan untuk membawa inovasi terkini Institut Pengajian Tinggi (IPT) kepada penduduk setempat.
“Program diadakan seawal jam 8.00 pagi melibatkan aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran Tanah Perkuburan Islam dan kenduri rakyat memasak gulai kawah.
“Selain itu, turut diadakan program pemeriksaan kesihatan, kursus masakan dan bakeri, pembaikan elektrikal, servis tukar minyak hitam motosikal, dan pertandingan futsal,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Pendaftar UMK, En. Khairul Eruwan Abdul Halim dan Timbalan Pendaftar Kanan HEPA, Encik Raja Azlan Bin Raja Ismail.