KOTA BHARU 5 Disember 2024 I Seramai 1,000 sukarelawan terdiri daripada pelajar 12 buah Universiti Awam (UA) seluruh negara terbabit dalam misi bantuan pasca banjir Skuad Ihsan Madani di enam buah daerah Kelantan bermula 4 hingga 5 Disember 2024.
Majlis peluncuran Misi Skuad Ihsan Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)-MASKUM telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) Prof. Dr. Norkhalid Salimin di Padang Kawad, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan, hari ini.
Turut hadir, Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMK, Prof. Dr. Mohammad Ismail.
Misi sukarelawan pasca banjir ini melibatkan Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta penyelaras bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, UMK dan USM merupakan penyelaras bersama bagi program ini untuk menyusun dan melancarkan proses pembersihan serta pemulihan pasca banjir di kawasan kampung yang terjejas dalam bencana banjir.
Katanya, untuk memastikan kelancaran operasi pihak UMK, USM dan MASKUM telah menyediakan kemudahan kenderaan seperti bas, van, kenderaan pacuan empat roda, dan peralatan pembersihan termasuk waterjet.
“Pihak UMK melalui pasukan sukarelawan juga akan membantu membersihkan kediaman mangsa banjir terutamanya melibatkan sekolah-sekolah dan masjid yang terjejas banjir,” katanya.



