BACHOK 2 Disember 2024 I Hujan lebat dan banjir yang berlaku pada tahun ini paling buruk dan air naik dengan laju ke dalam rumah mencecah 0.5 meter,” beritahu staf Pusat Komputeran Dan Informatik (CCI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Encik Mohammad Thalhah Amir Bin Abdul Rahman.

Beliau adalah antara staf UMK yang terkesan banjir apabila kediamannya di Kampung Keladi, Tangok, Bachok, ditenggelami air banjir pada 27 November lalu.Menurutnya, keputusan untuk berpindah dibuat selepas air mula naik sekitar jam 7 malam berikutan hujan lebat selama 24 jam pada hari Khamis.

“Allhamdullilah, sekurang-kurangnya kunjungan pihak pengurusan UMK ke rumah hari ini mampu mengubati kesedihan kami apabila rumah ditenggelami air banjir.“Banyak kerosakan berlaku terutamanya perabot dan peralatan elektrik kerana tidak sempat diselamatkan kerana air naik dengan cepat.

“Pada masa itu, hanya sempat untuk menyimpan dokumen-dokumen penting dan bawa keluar kereta kerana laluan masuk mula dilimpahi air banjir,” katanya pada Program Ziarah Prihatin Cakna Madani oleh Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Mohammad Ismail dan Timbalan Naib Canselor (AA), Prof. Dr. Huzili Hussin.

Sementara itu, Encik Norzariman Jalalussayuti, antara staf UMK yang terkesan banjir teruja dan tidak menyangka pihak UMK prihatin dengan kebajikan staf yang dilanda musibah. Beliau berkata, banjir tahun ini adalah lebih buruk berbanding pada tahun 2022."Pada dua tahun lepas air banjir tidak naik hingga ke dalam rumah tetapi banjir 2024, air naik hingga ke paras betis.“Banyak barangan rumah tidak dapat diselamatkan sepenuhnya kerana air naik dengan cepat dan ambil keputusan untuk tinggal di PPS tetapi semuanya sudah penuh,” katanya.

Beliau menyifatkan kehadiran pihak pengurusan UMK di rumahnya hari ini membuktikan keprihatinan universiti dan cakna dengan nasib yang dialami staf.Dalam pada itu, Prof. Ts. Dr. Arham hari ini menyampaikan sedikit sumbangan berupa pek makanan dan barang keperluan asas untuk meringankan beban mereka yang terjejas.“Bagi pihak UMK, kami bersimpati dengan nasib yang menimpa staf dan ini adalah sumbangan ikhlas UMK buat keluarga beliau.

“Allhamdullilah, pihak UMK telah membuat persediaan awal dengan menubuhkan tiga tempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketiga-tiga kampus UMK untuk kemudahan staf dan pelajar yang terkesan banjir.“Kita juga telah memastikan kemudahan asas dan barangan keperluan telah disediakan kepada mereka yang dipindahkan di PPS. InsyaAllah , selepas banjir reda kita akan gerakkan untuk operasi pasca banjir,” katanya.

Pada program itu, Prof. Ts. Dr. Arham, TNC AA dan TNC HEPA turut mengadakan lawatan ke PPS SMK Jelawat yang menempatkan 500 mangsa banjir dari sekitar Bachok.Turut serta adalah pasukan sukarelawan PRS dan Badan Beruniform Universiti yang melaksanakan aktiviti sukaneka bersama Kaunselor JKM di Dewan Terbuka, gotong-royong pembersihan PPS dan persiapan memasak untuk makan malam.




_large.jpeg)





