KOTA BHARU 1 Disember 2024 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meneruskan Program Ziarah Prihatin Cakna Madani ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parang Puting dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Badang, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Program Khidmat Komuniti yang diselaraskan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), itu diadakan bertujuan untuk membantu meringankan beban penghuni di kedua-dua PPS yang terkesan dengan banjir.
Program itu dihadiri oleh Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Zaluzi Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Mohammad Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Huzuli Hussin.
Khidmat komuniti pada hari ini adalah penyerahan sumbangan berbentuk bantuan makanan yang disempurnakan oleh Dato’ Zaluzi dan Prof. Ts. Dr. Arham kepada kedua-dua PPS yang terlibat. Selain itu, UMK juga turut menyantuni mangsa banjir melalui Program Pemeriksaan Kesihatan dan turut diadakan pertandingan mewarna kepada anak-anak di PPS SMK Badang.
Sementara itu, pasukan sukarelawan UMK yang terdiri dari pelajar UMK turut sama bergotong-royong membuat pembersihan sekitar kawasan PPS dan membantu proses penyediaan makanan tengahari di kedua-dua PPS.


