KOTA BHARU 1 Disember 2024 I Operasi Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, kembali pulih sepenuhnya dan sedia menerima pelajar khususnya untuk persediaan menghadapi peperiksaan pertengahan sesi semester 2024/2025.
Perpustakaan UMK ditutup buat sementara waktu baru-baru ini berikutan ditenggelami banjir kilat sedalam 0.52 meter pada 27 November 2024.Pustaka UMK Kampus Kota telah kembali pulih sepenuhnya sebaik sahaja Operasi Bersih Pasca Banjir dimulakan selepas banjir surut.Program gotong-royong itu diketuai oleh Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, di Pejabat PPI, UMK Kampus Kota, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Mohammad Ismail, Prof. Dr Huzili bin Hussin, Timbalan Naib Canselor (AA) dan Ketua Pustakawan UMK, En. Azman Hashim.Menurut En Azman, operasi pembersihan itu turut disertai oleh 33 staf dari UMK Bachok dan UMK Kampus Kota termasuk 25 sukarelawan pelajar yang terdiri daripada Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman UMK Kampus Kota. Katanya, pihak PPI memohon maaf diatas sebarang kesulitan yang berlaku khususnya kepada pelajar.
“Pihak PPI mengucapkan sekalung penghargaan kepada Menjalankan Fungsi Naib Canselor dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti atas sokongan dan bantuan kepada PPI UMK dalam mendepani cabaran banjir gelombang pertama pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, PPI juga memaklumkan bahawa Pustaka UMK di Fakulti Perubatan Veterinar, Padang Tembak turut mengalami kerosakan teruk dan mengalami kebocoran di beberapa ruang utama yang menyebabkan limpahan air hujan.
Satu laporan penuh telah dibuat oleh PPI dan tindakan selanjutnya akan diselesaikan dalam tempoh terdekat untuk memastikan kemudahan dan keselesaan kepada pelajar.