BACHOK, 11 November 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) amat komited, terutamanya dalam bersama-sama kerajaan, bagi menamatkan kemiskinan dalam kalangan komuniti di bandar mahupun luar bandar.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penubuhan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) sebagai pusat penyelidikan kecemerlangan telah berjaya memberikan impak yang besar dalam meningkatkan kesejahteraan negara melalui data kemiskinan, hasil penyelidikan yang bernilai guna, dan program-program pembinaan kapasiti yang memberi kesan lestari.
Beliau menambah, InsPeK UMK juga telah berjaya mengurangkan jurang dalam kalangan masyarakat rentan. Golongan tersebut yang dahulu terasa disisihkan kini diberi peluang untuk menggilap potensi diri melalui konsep pemetaan kemiskinan yang diperkenalkan oleh institut ini, sehingga mampu membanggakan keluarga mereka.
“Sebagai sebuah universiti awam yang diberi amanah untuk menjadi brains of the nation, kejayaan besar ini bukanlah hasil kerja InsPeK UMK semata-mata, tetapi berkat semangat kerjasama antara pelbagai pemegang taruh. InsPeK UMK telah berkolaborasi dengan lebih daripada 50 pemegang taruh, termasuk agensi kerajaan, pihak korporat, sektor swasta, NGO, dan komuniti itu sendiri.
“Semangat kolaborasi ini akhirnya membuktikan bahawa kemiskinan dapat ditamatkan dengan berkat kerjasama semua pihak,” katanya pada majlis perasmian InsPeK International Poverty Summit (InsPeK SUMMIT 2024) di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, Kelantan, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, dan Pengarah Kanan InsPeK, Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.
Menurut Dato' Dr. Hassan Basri, dengan umur InsPeK UMK yang telah menjangkau 10 tahun, jelas sekali bahawa institut ini telah memberi impak yang amat positif kepada UMK, komuniti, dan negara.
“Saya berharap InsPeK UMK akan terus mengekalkan momentum hebat ini dan melangkah ke tahap yang lebih tinggi, sekaligus mengharumkan lagi nama UMK. Saya menyeru agar seluruh warga UMK memastikan InsPeK UMK dapat menjadi Higher Institution Centre of Excellence (HICoE) kelak,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Prof. Dr. Razli berkata, sejak tahun 2017, InsPeK telah menerima dana sebanyak RM13,470,018.59, melibatkan 81 projek kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh.
“Dana ini dimanfaatkan untuk membantu komuniti rentan di Malaysia dalam menguruskan isu kemiskinan secara berkesan dan berterusan. Pelbagai program pembinaan kapasiti dan projek penyelidikan telah dilaksanakan bagi memastikan komuniti miskin mendapat manfaat dan berpeluang meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya.
