KOTA BHARU, 12 November 2024 – Mahasiswa perlu memanfaatkan sepenuhnya Dewan Persidangan Mahasiswa yang merupakan platform dinamik bagi mereka berkumpul, berdebat, berbincang, dan mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi oleh komuniti kampus.
Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato' Prof. Dr. Razli Che Razak berkata, dewan persidangan yang dianjurkan ini bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti pelajar UMK di mata awam, khususnya dalam aspek kemahiran akademik, pembangunan sosial, dan kepimpinan.
Beliau menjelaskan, melalui persidangan yang konstruktif ini, mahasiswa berpeluang untuk mengetengahkan pelbagai isu seperti tekanan akademik, keseimbangan kehidupan pelajar, peluang kerjaya, serta masalah kewangan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka di universiti.
“Selain itu, persidangan ini bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis mahasiswa, tetapi juga menggalakkan mereka untuk memainkan peranan aktif dalam mengambil keputusan serta membuat perubahan yang dapat memperbaiki kesejahteraan mereka secara menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, program ini amat relevan dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga kompeten dalam pelbagai aspek kemahiran dan berdaya saing di peringkat global.
“Akhirnya, persidangan ini seiring dengan wawasan universiti kita untuk menjadi institusi terkemuka yang menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya pada Majlis Perasmian Dewan Persidangan Mahasiswa Sesi 2023/2024 dan Penyampaian Watikah Pelantikan MPP Sesi 2024/2025 di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail, dan Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa Holistik dan Kepimpinan Pelajar, Dr. Noormariana Mohd Din.
Dato' Prof. Dr. Razli mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Mahasiswa Holistik dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Interim Sesi 2023/2024 atas usaha dan dedikasi mereka dalam menjayakan program ini.
“Saya yakin program ini adalah hasil usaha kolektif yang tidak mudah dan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak,” katanya.