MANJUNG, 23 November 2024 – Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti Malaysia (MAKMUM) menerima peruntukan berjumlah RM1.97 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melaksanakan program University-Community Social Enterprise (UCSE).
Penyerahan replika cek disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YBM Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr. Mohammad bin Ismail yang juga merangkap Pengerusi MAKMUM, dalam majlis In Person With Doc Zam @ Lumut serta pelancaran Siswa Aspirasi Rakyat KPT (SASAR KPT) di Hotel Ritz Garden, Manjung, Perak.
Menurut Prof. Dr. Mohammad, pelancaran Inisiatif SASAR KPT melibatkan tiga program utama, iaitu University-Community Social Enterprise (UCSE), Bakti MADANI, dan Inspirasi Varsiti.
“Inisiatif UCSE diselaraskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) JPT dengan kerjasama MAKMUM dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS). Program ini diterajui Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) dan melibatkan penyertaan 20 Universiti Awam (UA), sembilan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), dan tiga Politeknik Premier melalui 53 pasukan di seluruh negara,” katanya.