MELBOURNE, 29 Oktober 2024 – Seramai 15 pelajar dari Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), menarik perhatian warga Australia di Melbourne selepas tampil dengan berbusana Melayu tradisional semasa mengikuti International Community Exchange Programme in Melbourne (ICX 2024), baru-baru ini.
Keunikan busana Melayu, termasuk baju Melayu dan baju kurung yang dipamerkan oleh para pelajar dalam program yang berlangsung selama tujuh hari di Melbourne ini, telah menarik perhatian masyarakat setempat. Hal ini kerana pakaian tradisional tersebut jarang dilihat di negara berkenaan.
Menurut Puan Nur Asyikah Azahari, Pegawai Psikologi Kanan yang juga Penasihat Kelab PRS UMK, program ICX 2024 anjuran Bahagian Kaunseling Pelajar, Pusat Pembangunan Kerjaya, Kaunseling dan Alumni di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu dan pengalaman di luar negara.
"Selama tempoh tujuh hari tersebut, 15 pelajar diberikan tugasan untuk mengenali budaya dan gaya hidup masyarakat di Australia yang dikenali sebagai pusat dunia kerana kepelbagaian bangsa dari seluruh dunia yang tinggal di sana," katanya.
Program yang julung kali diadakan ini mendapat kerjasama yang baik daripada Australian Defence Force School (DFSL) dan RMIT University, Melbourne bagi pelaksanaan program mobiliti antarabangsa pelajar di luar negara.
Pelajar-pelajar yang terlibat juga diberi pendedahan mengenai trend pekerjaan semasa serta memperkukuhkan kemahiran insaniah mereka melalui aktiviti yang dijalankan, antaranya adalah menyebarkan nilai-nilai positif kepada masyarakat dan memperkenalkan modul-modul program yang dilaksanakan di UMK kepada pelajar-pelajar dari Defense School.
"Selain itu, mereka turut diberi tugasan untuk menemuramah peniaga-peniaga di sekitar Victoria Market," tambah beliau yang mengetuai program ini dari 23 hingga 29 Oktober 2024 di Melbourne.
Tambah beliau, Melbourne dipilih sebagai lokasi kerana keunikan geografinya serta perbezaan dari segi bahasa, budaya, dan gaya hidup yang memberi manfaat besar kepada pelajar untuk mendalami dan memahami kepelbagaian yang ada di negara tersebut.
"Bahagian Kaunseling Pelajar, Pusat Pembangunan Kerjaya, Kaunseling dan Alumni ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Mohammad Ismail, atas sokongan dan kerjasama yang diberikan untuk membolehkan pelajar mengikuti program ICX 2024 ini," katanya.