BACHOK, 8 Oktober 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Bahagian Kebajikan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) hari ini menyerahkan lima buah laptop dan 15 pek makanan retort kepada pelajar dalam kategori B40 dan Asnaf.
Majlis penyampaian program di bawah inisiatif UMK Care itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Dato' Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan, di BV Coffee, Bangunan Canselori, UMK Bachok, Kelantan.
Turut hadir, Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail, dan Pendaftar UMK, En. Khairul Eruwan Abdul Halim.
Menurut Dato' Dr. Hassan Basri, program ini membuktikan keprihatinan UMK yang sentiasa menjadikan kebajikan mahasiswa/siswi sebagai keutamaan, terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.
“Saya melihat program seumpama ini wajar diteruskan sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan kebajikan mahasiswa/siswi di universiti ini,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Prof. Dr. Razli berkata, pihak HEPA telah memperkenalkan inisiatif UMK Care khusus untuk menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mahasiswa/siswi dalam kategori Asnaf dan B40.
Katanya, objektif program ini adalah untuk membantu mahasiswa/siswi yang kurang berkemampuan dan mewujudkan kebersamaan HEPA dalam memastikan kebajikan mereka, terutama dalam kategori Asnaf/B40, terus menjadi tumpuan utama sehingga mereka tamat pengajian.
“Selain itu, program ini juga merupakan salah satu usaha UMK untuk mendampingi pelajar ini, sekaligus menjadikan UMK sebagai rumah kedua mereka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan kegembiraan kerana dapat menyantuni mahasiswa/siswi dalam kategori Asnaf/B40 melalui program ini.
Selain itu, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif kebajikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan mahasiswa/siswi mendapat manfaat sewajarnya.
