KOTA BHARU, 1 Oktober 2024 – Hantaran yang dikongsikan oleh seorang pesara kerajaan di platform WhatsApp menyentuh hati jiran dan penduduk kampung.
Dalam hantaran tersebut, Chinnakaruppan a/l Muthu, 67, meluahkan perasaan tentang kisah anak perempuannya, Kalaimagal a/p Chinnakaruppan, 20, yang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), tetapi tidak mempunyai cukup wang untuk mendaftar pengajiannya di UMK.
Hantaran tangkap layar itu segera dikongsikan dalam grup WhatsApp penduduk kampung dan terus tular. Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Kalaimagal sepakat melancarkan tabung, sehingga berjaya mengumpul RM3,000 bagi membantunya untuk membayar yuran pengajian hanya dalam tempoh dua jam sahaja hasil sumbangan orang ramai.
Kalaimagal, yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak, hari ini hadir untuk sesi pendaftaran bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Menurut Chinnakaruppan, beliau berasal dari keluarga B40 dan merupakan seorang pesara kerajaan di Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Perak, yang hanya berpendapatan RM700 sebulan. Beliau pada mulanya menghantar hantaran WhatsApp pada 21 September 2024 untuk memohon sumbangan daripada beberapa kenalan dan tidak tahu mesejnya itu akhirnya dikongsikan ke dalam grup WhatsApp penduduk kampung.
“Sejak tular di media sosial, mereka berjaya mengumpul duit sebanyak RM3,000 dan menyerahkan wang tersebut kepada kami untuk perbelanjaan di universiti,” katanya yang juga menghidap sakit saraf dan asma.
Sementara itu, pihak Bahagian Kebajikan Pelajar dan Tatatertib (BKTP), Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK telah mengambil tindakan segera melalui Program UMK Cakna untuk membantu Kalaimagal dengan sumbangan kecemasan sebanyak RM1,000 (one-off), sumbangan komputer riba, dan bakul keperluan asas.
Kalaimagal melahirkan rasa bersyukur dan terharu dengan keprihatinan orang ramai, serta memaklumkan bahawa kekangan kewangan keluarganya membuatkan beliau buntu untuk mencari wang bagi melunaskan yuran kemasukan sesi 2024/2025.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, sumbangan penduduk kampung sedikit sebanyak dapat meringankan urusan perbelanjaannya pada hari pendaftaran masuk di UMK hari ini.
Beliau masih terkejut kerana tidak menyangka jiran-jiran sanggup bersusah-payah mengumpul wang untuk persediaannya masuk ke UMK.
"Bantuan yang dihulurkan ini dapat meringankan beban saya dalam membuat persediaan untuk menyambung pengajian nanti. Kami terhutang budi dengan ehsan orang ramai,” katanya.
“Saya berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan demi mengejar impian untuk mengubah kehidupan kami sekeluarga,” tambahnya.
Kesusahan yang ditanggung oleh keluarga Kalaimagal turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Raya (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato' Dusuki, yang turut tampil membantu beliau untuk menyambung pengajian di UMK.