JERANTUT 9 April 2025 I Seramai 1,000 pelajar mendapat manfaat daripada Program Pembangunan Sahsiah Madani @ Jerantut dibawah program inisiatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerantut (SMKJ) dan Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKA TAHAP).
Perasmian program dua hari itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Prof. Dr. Hassan Basri Bin Awang Mat Dahan.
Turut hadir, Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Arham bin Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin dan Pengurusan Tertinggi Universiti.
Menurut Dato’ Prof. Dr. Hassan Basri, program ini dirancang bagi merealisasikan enam teras MADANI yang meliputi Kemampanan yang diterapkan melalui Pameran Akademik dan Asasi UMK, untuk memupuk kesedaran tentang pendidikan berkualiti sebagai asas kemajuan negara.
Beliau berkata, konsep Madani juga meliputi Kesejahteraan dimana telah berlangsungnya Forum Perdana di Masjid Tengku Mahkota Abdullah mengukuhkan hubungan antara sekolah, universiti (UMK) dan komuniti.
“Seterusnya program Daya cipta iaitu Bengkel Wakaf Ilmu @STEM (Sains, Matematik, Bahasa Inggeris) yang dirancang bagi merangsang pemikiran kritis dan inovatif pelajar-pelajar sekolah disamping menjadikan UMK sebagai pilihan untuk melanjutnya pengajian kelak.
“Selain itu, konsep Hormat-Menghormati, Program Mentor Bahasa Arab dan sesi kerjaya ini diadakan untuk membina adab serta kemahiran komunikasi pelajar.
“Pada masa sama, diterapkan konsep Keyakinan melalui Program Kepimpinan Sahsiah Madani dan Kepimpinan Madani melatih pelajar menjadi pemimpin berani dan bertanggungjawab dan akhir sekali penganjuran program Ihsan iaitu mengeratkan UMK, PIBG, dan sukarelawan melalui semangat gotong-royong,” katanya.
Justeru, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri mahu enam teras ini dimanfaatkan kepada pelajar sebagai pelopor generasi MADANI yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki sahsiah mulia dan kepimpinan yang menyumbang kepada bangsa dan agama.



