PETALING JAYA 14 Januari 2026 I Pelbagai usaha giat telah dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk mengumpul dana kebajikan yang boleh disalurkan kepada mahasiswa/siswi khususnya daripada golongan B40.
Justeru, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMK dan Yayasan Sayang Malaysia (YSM) telah diadakan dalam usaha memperkukuh kerjasama berteraskan inisiatif sukan amal.

Majlis penandatangan MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham bin Abdullah dan YSM diwakili oleh Pengerusi merangkap Pemegang Amanah YSM, Dato’ Dr. Suhaimi bin Ibrahim, di Pejabat YSM, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Turut menyaksikan majlis MoU tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan dan Dekan Fakulti Senibina dan Ekistik (FSE), Prof. Madya Dr. Shardy bin Abdullah.

Menurut Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham, kerjasama strategik ini membuka ruang sinergi yang signifikan dalam memperkasa pelaksanaan program kesukarelawanan, kebajikan dan pembangunan komuniti melalui pendekatan sukan yang bersifat inklusif serta berimpak tinggi, selari dengan keperluan semasa masyarakat.
Beliau berkata, melalui penganjuran kejohanan sukan amal yang dirancang bertujuan untuk mengumpul dana kebajikan yang boleh disalurkan kepada para pelajar UMK, sebagai sokongan berterusan terhadap kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa.

“Kolaborasi ini diyakini bukan sahaja mampu menyemarakkan budaya sukan dalam kalangan warga universiti dan komuniti setempat, malah berfungsi sebagai medium berkesan dalam menyemai nilai kemanusiaan, empati dan tanggungjawab sosial.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi UMK sebagai universiti keusahawanan yang berteraskan komuniti serta kesejahteraan sejagat. Kerjasama ini diharap dapat terus diperkukuh dan dimanfaatkan secara berterusan demi kepentingan bersama,” jelas beliau.










_large.jpeg)





