BACHOK 31 Mei 2024 I Seramai 800 peserta melibatkan 23 kelab-kelab taekwondo seluruh Malaysia menyertai Program 19th Sara Taekwondo Championship 2024 Invitation in Collaboration with University Malaysia Kelantan (UMK), di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, Kelantan, hari ini.

Kejohanan anjuran Kelab Sara Taekwondo Martial Art Negeri Kelantan dengan kerjasama Pusat Kokurikulum, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMK itu berlangsung selama dua hari bermula 31 Mei hingga 1 Jun 2024.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail berkata, buat pertama kali UMK menjadi tuan rumah pada kejohanan taekwando peringkat kebangsaan dengan kerjasama Kelab Sara Taekwondo Martial Art Negeri Kelantan.
Katanya, kejohanan ini adalah untuk membina semangat kesukanan di kalangan mahasiswa mahasiswi hari ini.

“Ianya bukan sekadar satu kejohanan bagi mengukur kemampuan para peserta yang bertanding dalam acara sukan Taekwondo tetapi kejohanan ini juga membina keyakinan diri serta suntikan kreativiti dan inovasi dalam kalangan para peserta kejohanan.
“Elemen ini sangat penting bagi mengiktiraf kebolehmampuan berfikir dalam menjana kemenjadian mahasiswa dan mahasiwi yang cemerlang dan bersahsiah mulia,” katanya.

Beliau menyambut baik kolaborasi di antara Pusat Kokurikulum UMK kelab dari luar sebagai salah satu platform CSR `Corporate Social Responsibility` yang mana ini merupakan satu usaha murni daripada Pusat Kokurikulum UMK dalam merapatkan jurang di antara universiti dan masyarakat dalam menjalankan satu komitmen sosial bagi mendapat manfaat dan impak yang positif secara menyeluruh kepada pihak-pihak yang terlibat.










