JELI 22 Julai 2024 I Pusat Pengajian Asasi Universiti Malaysia Kelantan hari ini menerima pendaftaran atlet Ekuestrian Negara, Cik Anfal Insyirah Abu Talib, 18, sebagai pelajar Asasi Sains baharu Semester 2024/2025.
Beliau merupakan sebahagian daripada 315 pelajar baharu bagi mengikuti pengajian dua program asasi di UMK Kampus Jeli, hari ini.
Kehadiran Cik Anfal Insyirah ditemani kedua ibu bapanya mencuri perhatian ramai kerana beliau adalah seorang atlet muda dalam arena sukan ekuestarian kebangsaan yang mewakili pasukan kuda lasak (endurance) negara di Kejohanan Endurance Dunia FEI (Bawah 21 & ke bawah) di Ermelo, Belanda.
Beliau telah berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi tempat kedua bagi kategori berpasukan dalam Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia.
Menurut Cik Anfal Insyirah, beliau gembira dan teruja selepas bertuah kerana terpilih dalam kalangan 14,000 permohonan yang diterima untuk melanjutkan pengajian di UMK.
“Saya amat gembira kerana UMK merupakan pilihan pertama saya dalam permohonan dan saya bercita-cita untuk menjadi Doktor Perubatan Veterinar dan mewakili UMK ke peringkat dunia dalam sukan kuda lasak sekiranya diberi peluang.
“Saya akan mengikuti pengajian Asasi Sains di Kampus Jeli dan bukan satu masalah untuk saya menumpukan perhatian kepada kedua-dua bidang iaitu akademik dan sukan berkuda.
"Fokus saya ketika ini ialah memberi tumpuan kepada pengajian dan seterusnya melanjutkan pengajian ijazah dalam Perubatan Veterinar di UMK,” katanya pada Hari Pendaftaran Pelajar Asasi Baharu Semester 2024/2025, di Dewan Utama, UMK Kampus Jeli, hari ini.
Sementara itu, Pusat Pengajian Asasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK-AsCent) menerima seramai 315 pelajar baharu sesi 2024/2025 bagi mengikuti program Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat Huffaz di UMK Kampus Jeli, Kelantan, hari ini.
Ketua Jabatan Sains UMK-AsCent, Dr. Aainaa Syazwani Bt. Mohamad Amir Hamzah berkata, UMK-AsCent dapat mengekalkan jumlah pelajar yang mendaftar pada sesi kali ini sepertimana jumlah yang diterima pada sesi lepas.
Beliau berkata, Pusat Pengajian Asasi Sains UMK juga dapat mengekalkan populariti program Asasi Sains seperti tiga tahun sebelum ini apabila menerima permohonan sebanyak 14,000 pada sesi ini daripada pelajar lepasan SPM.
“Namun, selepas proses pemilihan dilakukan seramai 315 pelajar baharu hadir mendaftar pada hari ini yang sebahagian besarnya akan mengikuti program Asasi Sains di UMK Kampus Jeli.
“Alhamdulillah, proses pendaftaran pelajar pada hari ini berjalan lancar dan persediaan rapi telah dibuat untuk memastikan sambutan yang mesra dan cekap untuk kemasukan kohort baharu hari ini.
“Dalam tinjauan kami, pelajar dan keluarga telah menyatakan rasa puas hati dengan prosedur yang teratur dan sokongan yang diberikan oleh staf UMK-AsCent dan sukarelawan,” katanya.
Tambah beliau, UMK-AsCent berasa bangga dapat menyokong Cik Anfal Insyirah dalam perjalanan akademiknya, yang mengimbangi cita-cita ilmiah dan minatnya terhadap sukan ekuestarian.
“InsyaAllah, pihak UMK akan membantu dan sentiasa menyokong pelajar untuk aktif dalam sukan. Pencapaian dan kejayaan Cik Anfal Insyirah adalah bukti kekuatan, ketekunan, dan kecemerlangan yang menginspirasikan rakan-rakan di UMK-Ascent,” katanya.
