BACHOK, 1 Oktober 2024 – Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Cambodia 2023 dalam acara sukan petanque, Muhammad Adam Haiqal Mohd Zaki, 20, teruja menjadi pelajar baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Sesi 2024/2025.
Beliau yang ditemani keluarga tiba di UMK seawal jam 9.00 pagi dan mula melapor diri di kolej kediaman di UMK Bachok, Kelantan untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan Dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) pada Selasa lalu.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berasal dari Kampung Gaung, Pasir Mas, Kelantan, dan berterima kasih kepada UMK kerana memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian di universiti ini selama empat tahun.
Muhammad Adam Haiqal kelihatan bersemangat dan tidak sabar untuk memulakan sesi kuliah bersama rakan-rakan lain sebaik sahaja selesai sesi Minggu Mesra Mahasiswa (3M) pada Jumaat.
Katanya, beliau mula berjinak-jinak dengan sukan petanque sejak usia 11 tahun dan mula aktif secara serius ketika di SMK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas.
“Sebelum menyertai Kejohanan Sukan SEA Cambodia 2023, saya telah mewakili pasukan Kelantan dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan Sukan Malaysia (SUKMA).
“Sepanjang menyertai SUKMA, saya pernah memenangi pingat gangsa acara berpasukan pada SUKMA 2018, pingat perak SUKMA 2022, dan terbaru, memungut pingat perak pada acara Petanque Berpasukan di SUKMA 2024 di Sarawak,” katanya.
Muhammad Adam Haiqal kini terpilih mengikuti Program Podium Fasa Persiapan ke Sukan SEA 2025 di Arena Petanque Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, pada 6 hingga 20 Oktober 2024.
Beliau berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan cemerlang dalam akademik serta sukan petanque di UMK.
“Insya-Allah, saya berusaha untuk mendapat keputusan dekan setiap semester dan ingin membantu sukan petanque UMK terus maju, terutama dalam Sukan IPT,” katanya.
Sementara itu, pihak Pusat Sukan UMK mengalu-alukan kehadiran atlet sukan dari pelbagai sukan untuk melanjutkan pengajian di UMK.
Menurut Pengarah, En. Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib, kehadiran atlet seperti Muhammad Adam Haiqal memberikan impak positif yang besar kepada pembangunan sukan di universiti, baik di peringkat dalaman UMK, MASUM, SUKIPT, SUKMA, Negeri, Kebangsaan, dan juga Antarabangsa.
Katanya, mereka yang cemerlang dalam sukan ini akan terus dapat bersaing setara dengan universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain dalam setiap penyertaan luar atau penganjuran daripada UMK sendiri.
“Ia juga selaras dengan Dasar Sukan Negara yang meletakkan UMK sebagai salah satu Universiti Awam yang memainkan peranan utama dalam menggalakkan atlet dalam kalangan pelajar mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti sukan dan menyediakan peluang pendidikan kepada atlet sukan UA.
“Ini sekaligus menyangkal tanggapan bahawa kecemerlangan sukan akan terhenti setelah memasuki universiti. Pusat Sukan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA), dengan izin pihak Pengurusan Tertinggi, akan merancang dan melaksanakan program sukan secara sistematik dari masa ke semasa ke arah kecemerlangan sukan yang berterusan,” katanya.